Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kerajaan Pahang menafikan sekeras-kerasnya berlaku aktiviti pengeluaran bahan nadir bumi oksida secara haram di kawasan hutan simpan di daerah Lipis.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, mendakwa kenyataan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, berhubung perkara itu pada sidang Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, semalam, adalah kurang tepat.

Pada sidang itu, Nik Nazmi ketika menjawab soalan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur), berkata kira-kira 16,000 tan nadir bumi oksida dilombong secara haram di beberapa negeri di Malaysia dan dieksport ke China.

Nik Nazmi dilaporkan berkata, perlombongan haram itu dijalankan di hutan simpan di Sik, Kedah; Lipis, Pahang; Pengkalan Hulu dan Kuala Kangsar, Perak; serta di tanah milik persendirian di daerah Meranti dan Jelebu, Negeri Sembilan.

Wan Rosdy mendakwa, tiada sebarang aktiviti pengeluaran bahan nadir bumi secara haram di daerah Lipis meskipun terdapat cubaan untuk kegiatan itu.

“Hasil maklumat dan intipan dilakukan, Pasukan Elit Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) pada 20 Mac 2023 telah mengesan serta menjumpai satu lokasi yang cuba dijadikan kawasan lombong nadir bumi berdasarkan peralatan yang ditemui.

“Susulan penemuan itu, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Pahang telah menjalankan pemeriksaan tapak di lokasi itu pada 23 Mac 2023. Hasil siasatan mendapati penemuan peralatan dan barang-barang makmal yang digunakan itu menunjukkan kawasan terbabit adalah untuk melombong nadir bumi.

“Bagaimanapun, tiada aktiviti pengeluaran dikesan dan semua peralatan berkenaan telah dirampas oleh pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bahkan susulan itu, Wan Rosdy berkata, UPNP bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Penguat Kuasa Perhutanan Zon Pahang Barat telah melakukan pemantauan berkala dari 3 Mei 2023 hingga 15 Februari 2024 di kawasan Pahang Barat.

Beliau berkata, hasil pemantauan berkenaan mendapati tiada sebarang aktiviti perlombongan nadir bumi berlaku di kawasan terbabit.

“Oleh itu, saya berharap fakta ini dapat diperbetulkan kerana kenyataan semalam menjejaskan nama baik Pahang, lebih-lebih lagi Kerajaan Pahang sejak lima tahun lalu begitu tegas melaksanakan penguatkuasaan bagi membendung aktiviti pencerobohan tanah secara haram termasuk kegiatan perlombongan, daripada berleluasa.

“Untuk makluman, sejak penubuhan UPNP pada 9 Oktober 2019, sebanyak 137 kes pencerobohan tanah kerajaan negeri berjaya diselesaikan, dengan 129 kes telah dikenakan kompaun dan lapan lagi didakwa di mahkamah serta dijatuhkan hukuman.

“Kerajaan negeri akan terus melaksanakan aktiviti penguatkuasaan ini dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada lagi aktiviti penerokaan tanah secara haram berlaku di Pahang pada masa akan datang,” katanya.-BH Online