Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Syarikat Malaysia dan Kemboja mengukuhkan hubungan dengan meninjau peluang pertumbuhan dan pembangunan bersama dalam ekosistem digital pada Forum Kerajaan Digital (DGF) 2024 yang diadakan di Kemboja bermula Sabtu lalu hingga hari ini.

Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dalam kenyataan hari ini, berkata syarikat dari kedua-dua negara meletakkan asas untuk kerjasama mereka dengan bertukar-tukar dokumen perniagaan dalam bidang seperti teknologi hartanah, libat urus pelanggan dan keselamatan siber.

Majlis pertukaran dokumen itu dianjurkan MDEC dan disaksikan Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Duta Besar Malaysia ke Kemboja, Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim.

“Syarikat yang terlibat ialah IQI Global dari Malaysia dan Premium Housing Group dari Kemboja; CTAPPS MSC Sdn Bhd dari Malaysia dan Paxxa Mobile Solutions Co Ltd dari Kemboja dan Provintell Technologies Sdn Bhd dari Malaysia dan Cellcard dari Kemboja,” katanya.

MDEC berkata delegasi Malaysia ke DGF selama tiga hari diketuai Gobind bertujuan mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara dan meninjau peluang untuk pertumbuhan dan pembangunan bersama dalam ekosistem digital.

“DGF 2024 adalah platform untuk penggubal dasar, peneraju industri dan pakar untuk terlibat dalam perbincangan mengenai memanfaatkan teknologi digital untuk tadbir urus yang cekap.

“Dengan tumpuan kepada perkongsian amalan terbaik, penyelesaian inovatif dan inisiatif kerjasama, forum itu menyediakan peluang kepada Malaysia dan Kemboja untuk meningkatkan keupayaan digital mereka,” katanya. – BERNAMA