Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JKTSM) sudah memberi notis kepada Kedah Agro Holdings Berhad untuk segera menyelesaikan isu tunggakan gaji kakitangannya.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, berkata anak syarikat kepada Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah itu didapati tidak membayar gaji sejak September tahun lalu.

“Saya sudah mendapat laporan JTKSM mengenai isu dan latar belakang kes itu. JKTSM sudah memberi notis kepada mereka sejak Januari lalu. Ia bercanggah dan melanggar Seksyen 19 Akta Kerja 1955.

“Notis (diberikan JTKSM) kepada majikan terbabit untuk membayar (tunggakan) gaji, dan mereka sudah berjanji akan memohon bantuan kerajaan negeri (Kedah),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Inisiatif Caruman Percuma Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), di sini, hari ini.

Terdahulu, tular surat dalam media sosial yang didakwa dikeluarkan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Kedah berkait aduan isu bayaran gaji serta pengoperasian Kedah Agro Holdings.

Berdasarkan surat itu, Biro Pengaduan Awam Kedah dikatakan menerima maklum balas daripada Kedah Agro Holdings berhubung aduan yang dibuat ke atasnya.

Difahamkan, selain tunggakan gaji, syarikat berkenaan juga didakwa gagal menjelaskan tunggakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Mengulas lanjut, Sim berkata, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) berpendirian setiap pekerja berhak ke atas gaji mereka, dan isu membabitkan gaji tidak boleh dikompromikan.

“Mereka (Kedah Agro Holdings) sudah berjanji akan meminta bantuan kerajaan negeri. Difahamkan, mereka akan mengadakan mesyuarat dengan Menteri Besar (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor), hari ini.

“Mungkin selepas keputusan mesyuarat itu, kita akan membuat keputusan yang seterusnya kerana saya berharap kerajaan negeri mengambil berat perkara ini sebab ada 24 pekerja syarikat yang tidak dibayar gaji,” katanya.

Beliau berkata, KESUMA mahu isu berkenaan diselesaikan secara berhemah dan tunggakan gaji kakitangan terbabit dapat dijelaskan segera.-BH Online