Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing menghadiahkan kuntuman bunga kepada semua wanita yang menghadiri Majlis Apresiasi Media Kementerian Pelancongan (MOTAC) sempena Hari Wanita di sini, malam ini.

King Sing menyampaikan sendiri sekuntum bunga untuk setiap tetamu wanita yang hadir sebagai simbolik penghargaan MOTAC kepada wanita.

Wartawan NST, Iylia Marsya Iskandar, 25, berkata beliau terharu dan terkejut menerima sekuntum mawar merah daripada King Sing.

“Saya sangka kami akan diberi bunga secara umum tetapi apabila YB Menteri sendiri datang ke meja dan menyerahkan bunga, saya rasa dihargai,” katanya.

Wartawan sambilan SelangorKini, Nas Norziela Nasbah pula berkata beliau rasa dihargai dengan pemberian bunga yang diberikan oleh pemimpin MOTAC itu.

“Saya rasa sangat dihargai. Ini pertama kali dapat bunga daripada menteri,” katanya.

Hampir 1,000 pengamal media dirai pada Malam Penghargaan MOTAC itu.

Pada majlis itu, MOTAC turut memperkenalkan makanan warisan Malaysia seperti mi kolok, laksa nyonya, pasembur dan buah-buahan tempatan.

Selain sebagai tanda penghargaan kepada pengamal media atas sokongan kepada MOTAC sepanjang tahun lalu, majlis itu turut bertujuan menguar-uarkan program MOTAC sepanjang tahun yang dilaksanakan jabatan serta agensi bawahnya kepada rakan media.

Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan dan Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) dan Pengarang Kumpulan BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Datuk Ahmad Zaini mewakili Media Prima Berhad (MPB) menerima cenderahati penghargaan daripada MOTAC atas sumbangan media kepada usaha kementerian mempromosikan pelancongan negara.

Majlis apresiasi itu dibuka dengan persembahan tarian singa selain persembahan Voices of Malaysia bagi menonjolkan kepelbagaian budaya dan etnik di negara ini.

Selain persembahan, menu makanan hidangan makan malam turut menampilkan kepelbagaian budaya di negara ini.

Antara menu yang dihidangkan ialah set sarapan yang Malaysia cadangkan dimasukkan ke Senarai Warisan Budaya Kemanusiaan Tidak Ketara Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Antara hidangan lain, laksa Sarawak, satay, cendol, buah-buahan tempatan dan banyak lagi.