Sorting by

×

Dalam usaha menarik kalangan pelabur dan perniagaan Australia dan Asean untuk mempertimbangkan Malaysia secara serius bagi melabur, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kepentingan kestabilan politik, kejelasan dasar serta tadbir urus baik dalam mewujudkan persekitaran kondusif bagi pelaburan serta pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Sejajar misi meraih perhatian pelabur dan perniagaan Australia serta Asean di acara Persidangan Invest Asean di sini pada Khamis, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, berkata di bawah kepimpinan beliau, Malaysia berada dalam keadaan stabil dan kukuh.

“Menerusi kestabilan politik ini, kita memberi tumpuan terhadap tadbir urus yang baik. Selain itu, wujud kejelasan dasar iaitu perancangan serta keutamaan yang lebih jelas,” kata beliau di hadapan barisan hadirin antarabangsa yang menghadiri acara berkenaan.null

Perdana Menteri dalam rangka lawatan rasmi ke Australia pada 4-7 Mac ini atas jemputan rakan sejawatannya, Perdana Menteri Anthony Albanese.

Selain itu, Anwar berkata kerajaan juga menyedari dalam usaha memacu ekonomi, apa yang penting adalah menyegerakan serta mempercepat kadar keutamaan, sebagai contoh, dalam aspek transformasi digital.

“Kita komited untuk mengambil apa juga langkah wajar bagi memastikan ini dapat direalisasikan,” kata beliau.

Pada masa sama, Perdana Menteri turut menegaskan bahawa peranan kerajaan tidak hanya sebagai menyediakan kemudahan berkaitan, tetapi juga membabitkan aspek mempercepat proses serta berupaya mengenal pasti soal keutamaan.

“Bagi saya, isu dengan kerajaan ialah ada kalanya kita (menganggap) seperti tahu semua perkara.

“Atas alasan inilah, saya katakan kepada rakan-rakan dalam Jemaah Menteri bahawa walaupun kita telah menggariskan kejelasan dasar ini dari segi peralihan tenaga, kita juga perlu memikirkan mengenai masa depan,” kata beliau.

Menjawab pertanyaan mengenai dana kekayaan negara, Anwar menjelaskan walaupun dana-dana itu secara teknikalnya di bawah kawalan kerajaan, aspek seperti keputusan perniagaan yang diambil oleh Khazanah Nasional dan Petronas yang dipengerusikan beliau, adalah semata-mata berasaskan matlamat perniagaan.

“Biarpun secara teknikalnya saya mempengerusikannya, saya telah menyatakan dengan jelas. Keputusan itu, keputusan perniagaan adalah berdasarkan garis panduan dasar.

“Keputusan perniagaan mesti dibuat oleh mereka dalam bidang itu, kalangan pakar,” katanya. – BERNAMA