Sorting by

×

Langkah menyatukan pekebun kecil sawit untuk mewujudkan kluster atau ladang berskala besar perlu dilaksanakan segera bagi membolehkan mereka menggunapakai amalan pengurusan ladang yang baik. 

Ia sekali gus menambah kapasiti pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) sebanyak 600,000 tan setahun atau sekitar RM2.4 bilion.

Menteri Perladangan dan Komoditi (KPK), Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata ketika ini, daripada 5.7 juta hektar kawasan tanaman kelapa sawit, 27 peratus (1.5 juta hektar) diuruskan secara kecil-kecilan melalui pekebun kecil.

Beliau berkata, secara puratanya, setiap pekebun kecil menguruskan empat hektar ladang dan kebanyakan mereka turut berhadapan dengan kesukaran untuk meningkatkan hasil.

Justeru itu katanya, model perniagaan yang boleh dilaksanakan bagi membantu pekebun kecil adalah dengan menyatukan 214,680 pekebun kecil bebas (822,073 hektar) menjadi kluster sekitar 8,000 hingga 10,000 hektar.

Kelompok itu kemudiannya katanya akan diuruskan dengan adil seperti ladang sederhana atau besar oleh pasukan yang berdedikasi selain membantu daripada pelaksanaan pengambilan tanah baharu yang menyebabkan berlakunya penebangan hutan.

“Jika langkah menyatukan pekebun kecil itu walaupun hanya 30 peratus dapat dilaksanakan, negara akan mempunyai tambahan 250,000 hektar tanah untuk diuruskan dengan cekap.

“Hasil buah tandan segar (BTS) dengan mudah boleh meningkat sebanyak dua metrik tan satu hektar menjadikan pengeluaran MSM bertambah 600,000 tan setahun atau sekitar RM2.4 bilion pada harga pasaran semasa tanpa sebarang perubahan guna tanah tambahan. 

“Saya tahu bahawa ini lebih mudah berkata daripada menyelesaikan, tetapi kita perlu mengusahakannya,” katanya selepas merasmikan Palm & Lauric Oils Price Outlook Conference (POC2024) di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar dan Pengerusi Dalian Commodity Exchange, Dr Ran Hua.

Johari berkata, kadar penanaman semula antara 2014 dan 2023 adalah pada 1.8 peratus setahun, jauh lebih rendah daripada saranan amalan terbaik industri yang memerlukan penanaman semula pokok kelapa sawit sekitar empat hingga lima peratus setiap tahun. 

Beliau berkata, jika penanaman semula ini tidak dapat dilaksanakan dengan lebih tinggi, menjelang 2027 lebih 560,000 hektar pokok kelapa sawit akan berusia lebih 25 tahun. 

Ini katanya akan membawa kepada pengeluaran yang lebih rendah sekali gus menurunkan lagi kapasiti serta penguasaan negara dalam minyak sawit yang akhirnya memberi impak kepada masa depan pekebun kecil.

“Cara yang lebih pragmatik untuk memastikan pekebun kecil menanam semula pokok kelapa sawit tepat pada masanya bagi memastikan hasil maksimum yang konsisten adalah dengan memanfaatkan kepakaran teknikal peserta industri utama dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) meliputi setiap aspek yang diperlukan,” katanya.

Mengenai isu kekurangan buruh yang menjadi permasalahan utama di sektor peladangan, Johari berkata, beliau sudah berbincang dengan Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi mengatasi perkara itu.

Ini kerana sektor peladangan di negara kekurangan hampir 40,000 pekerja ketika ini disebabkan masalah buruh asing yang dibawa masuk ke negara didaftarkan atas industri pembuatan dan perkhidmatan.

Jika tidak diatasi, negara kehilangan nilai eksport kelapa sawit sekitar RM7.9 bilion setahun disebabkan masalah kekurangan pekerja ladang.

Beliau berkata, hasil perbincangan bersama itu, KDN dan KSM bersetuju dengan cadangan KPK bagi sektor peladangan mendapatkan tambahan buruh asing.

“Saya sudah berbincang dengan KSM dan KDN, mereka kata ‘ok’ dan akan lihat perkara itu. Jika ada buruh asing yang dibawa masuk tapi tiada pekerjaan maka mereka boleh dihantar ke peladangan.

“Syarikat peladangan yang memerlukan buruh asing perlu daftar kerana kita ingin semak jika tempat kediaman (termasuk kebajikan dan sebagainya) menepati piawaian yang ditetapkan,” katanya.-BH Online