Sebanyak enam pasukan petugas khas (task force) diwujudkan dalam memperkasakan haluan pendidikan negara pada tahun ini, kata Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan.
Menurutnya, terdapat beberapa bahagian yang dipertanggungjawabkan untuk menerajui pasukan petugas khas tersebut dalam memastikan setiap keberhasilan yang berkualiti dapat dicapai.
“Saya tegaskan apa yang perlu dilaksanakan pada tahun 2024 adalah kita perlu perkukuhkan kualiti pendidikan bagi memastikan kualitinya berada pada tahap yang terbaik.
“KPM sentiasa memberikan komitmen yang tinggi untuk memastikan bahawa tidak ada seorang pun anak warganegara Malaysia yang tercicir dari arus pendidikan,” katanya menerusi sidang akhbar selepas menyampaikan amanat sempena pembukaan sesi persekolahan 2024/2025 di sini hari ini.
Jelasnya, pasukan khas yang ditubuhkan adalah Task Force Prasekolah serta Task Force Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), masing-masing diterajui Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (BPPDP), selain Task Force Intervensi Kurikulum diterajui Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK).
Turut ditubuhkan adalah Task Force Pendidikan Digital diterajui Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP), manakala Task Force Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) diterajui Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (BPLTV).
Task Force Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) pula diterajui English Language Teaching Centre (ELTC), Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). – KOSMO! ONLINE