Sorting by

×

Kementerian Komunikasi telah menyuarakan cadangan kepada perkhidmatan internet satelit oleh SpaceX, Starlink supaya membuka pejabatnya di Malaysia bagi memudahkan urusan pihak yang ingin mendapatkan perkhidmatan mereka di dalam negara.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata perkara itu disampaikan dalam pertemuan dengan Pengarah Perlesenan Global dan Pengaktifan Pasaran Starlink Rebecca Hunter di Pavilion Malaysia pada Mobile World Congress Barcelona 2024 (MWC2024).

“Ada juga aspek lebih menarik yang sekarang ini mula dibincangkan dalam banyak lawatan saya ke reruai di sini… ramai yang bercakap tentang direct-to-cell, dari satelit ke telefon bimbit.

“Jadi ini antara beberapa perkara kita bincang juga dengan Starlink, adakah Starlink sedia berbincang dengan syarikat-syarikat telekomunikasi di Malaysia untuk menyediakan perkhidmatan direct-to-cell,” katanya kepada Bernama dan RTM, di sini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sebelum berlepas ke Oslo, Norway,bagi mengetuai delegasi Malaysia menghadiri sesi “Next Generation Communications Roundtable’ anjuran syarikat telekomunikasi Norway, Telenor.

MWC2024 yang bermula Isnin lepas menyaksikan 24 MoU ditandatangani melibatkan syarikat telekomunikasi dan agensi Malaysia, selain Malaysia dianugerahkan Skor Ketekalan 5G Global Terbaik oleh Ookla, peneraju global dalam pemantauan rangkaian dan cerapan kesalinghubungan.

Ia merupakan perhimpunan tahunan terbesar industri telekomunikasi anjuran badan antarabangsa Groupe Speciale Mobile Association (GSMA), dengan Barcelona dipilih sebagai tuan rumah penganjuran kongres yang mengumpulkan lebih 100,000 pemain industri telekomunikasi.

Selain itu, Fahmi berkata beliau turut mencadangkan supaya produk Starlink yang mula dibuka untuk pembelian di pasaran Malaysia sejak Julai tahun lepas diperbanyakkan dalam negara.

“Kita juga lihat ada keperluan untuk teliti penggunaan Starlink yang bersifat boleh bergerak, atau mobile, sekarang ini unit-unit Starlink (yang dijual) perlu diletakkan sama ada di bumbung rumah,” katanya.-Bernama