Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Agensi kerajaan dalam sektor komoditi, termasuk FELDA, FELCRA dan RISDA perlu kukuh bagi membolehkan pekebun kecil kelapa sawit serta getah bergantung kepada mereka untuk meningkatkan aktiviti agrikomoditi dan sosioekonomi.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata terdapat banyak kekangan yang dihadapi pekebun kecil, antaranya masalah pembiayaan untuk penanaman semula pokok dan kegiatan orang tengah yang mengaut keuntungan, yang menyebabkan pendapatan mereka terjejas.

Johari berkata, kementerian tidak menaungi agensi berkenaan, sebaliknya hanya berperanan sebagai fasilitator, pembuat dasar dan mengemukakan cadangan kepada kerajaan jika industri berdepan sebarang masalah.

“Isu ini banyak yang perlu diselesaikan dan ia bukan membabitkan kementerian saja tetapi juga pemain industri, FELDA, FELCRA, RISDA. Mereka pun mesti kuat dan kukuh supaya pekebun kecil ini boleh bergantung kepada mereka.

“Jika mereka pun sudah tidak kuat, sebahagian syarikat mereka rugi dulu, jadi susah. Dulu, jika mereka fokus saja pada kelapa sawit atau getah, jadi mana-mana hasil oleh pekebun kecil ini, mereka boleh datang beli dengan segera.

“Jika mereka juga dah jadi masalah, bagaimana? Jadi, kena ada rombakan untuk seluruh industri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Ruang Bicara bertajuk “Memperkasa Agrikomoditi, Mendepani Cabaran Global” yang disiarkan di Bernama TV, malam ini. Program dihoskan pengacara, Sherkawi Jirim.

Mengulas lanjut, Johari berkata, bagi membantu pekebun kecil, termasuk kelapa sawit yang membabitkan keluasan 1.5 juta hektar ladang, kementeriannya melihat kepada usaha yang boleh dilakukan untuk menarik pemain industri besar bekerjasama dengan pekebun kecil bagi membuat penanaman semula.

“Tanah ini, mereka (syarikat besar) tidak payah beli, cuma perlu pakat dengan pekebun kecil untuk merealisasikan visi ini tanpa membabitkan banyak sangat duit kerajaan kerana kerajaan tidak boleh memberi terlalu banyak untuk penanaman semula dalam masa setahun.

“RM100 juta yang diberikan kerajaan di bawah belanjawan baru-baru ini mungkin boleh digunakan bagi 5,000 ke 6,000 hektar saja untuk penanaman semula tapi kita ada 1.5 juta hektar, dengan 10 ke 15 peratus daripadanya perlu ditanam semula,” katanya.

Beliau turut melihat kepada penggabungan pekebun kecil untuk mewujudkan ladang berskala besar sebagai langkah yang boleh dilaksanakan untuk meningkatkan pendapatan mereka.

“Katakan (penggabungan) 10,000 hektar dan dikuasai semua pekebun kecil yang ada tanah masing-masing. Kita gabung dan kerjakan seperti estet besar.

“Dengan ini, hasil akan bertambah. Biasanya jika pekebun kecil itu dapat RM2,000 atau RM3,000 sebulan, pendapatannya boleh jadi berganda,” katanya.-BH Online