Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kenaikan kadar cukai perkhidmatan daripada enam peratus kepada lapan peratus yang berkuat kuasa mulai 1 Mac 2024 menumpukan kepada aktiviti berkaitan perkhidmatan kemahuan (discretionary) dan aktiviti antara perniagaan (B2B), demikian menurut Kementerian Kewangan (MOF).

Ia bagi memastikan rakyat tidak dibebani dengan kadar cukai kepenggunaan yang lebih tinggi khususnya dalam perkhidmatan keperluan penting seperti makanan dan minuman, parkir kenderaan, telekomunikasi serta logistik.

Peningkatan kadar cukai perkhidmatan itu tidak membabitkan perkhidmatan yang menjadi keperluan asas serta menjadi sebahagian daripada gaya hidup rakyat di negara ini.

Sebagai contoh, perkhidmatan yang banyak digunakan oleh rakyat seperti makanan dan minuman, telekomunikasi dan parkir kenderaan kekal dikenakan cukai perkhidmatan pada kadar enam peratus.

Ia termasuklah perkhidmatan logistik yang akan dikenakan cukai perkhidmatan pada kadar enam peratus. 

Bagi perkhidmatan penghantaran makanan dan minuman, cukai perkhidmatan tidak akan dikenakan.

Bagi perkhidmatan elektrik, cukai perkhidmatan hanya dikenakan ke atas kadar penggunaan lebih daripada 600 kilowatt sejam (kWj).

Hampir 85 peratus pengguna elektrik berada di bawah ambang itu, dan tidak terkesan dengan kenaan cukai perkhidmatan berkenaan.

Cukai perkhidmatan juga tidak akan dikenakan kepada perkhidmatan air dirawat.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata bagi menjayakan transformasi ekonomi, kerajaan mengambil pendekatan yang berhati-hati dalam usaha mereformasi sistem percukaian negara. 

Beliau berkata, meskipun adanya keperluan untuk mengembangkan hasil negara, kerajaan perlu menimbangkannya dengan mengambil kira keperluan melindungi rakyat daripada beban berlebihan.

“Kerajaan perlu memperluas asas cukai demi memperkukuh asas fiskal negara ke arah pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan seperti mana digariskan di bawah kerangka Ekonomi MADANI. 

“Pada masa sama, kerajaan turut giat merangkul seluruh kekuatan dan tenaga bagi melaraskan semula trajektori ekonomi negara merangkumi amalan perbelanjaan yang berhemat, mengurangkan ketirisan serta menarik pelabur langsung asing (FDI),” katanya dalam satu kenyataan.

MOF berkata, sistem percukaian yang ditambah baik dijangka meraih tambahan hasil yang dianggarkan sebanyak RM3 bilion kepada negara. 

Ia berkata, hasil tambahan itu dapat dimanfaatkan untuk menambah baik bantuan bersasar kepada rakyat selain memperbanyak penambahbaikan dan penyelenggaraan prasarana awam kritikal seperti kesihatan, sekolah dan jalan raya.

Menurut Peraturan-peraturan Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2024 yang telah diwartakan pada 23 Februari 2024, semua perkhidmatan bercukai yang disenarai dalam Jadual Pertama, Peraturan-peraturan Cukai Perkhidmatan 2018 akan dikenakan cukai perkhidmatan pada kadar lapan peratus. 

Ia termasuklah perkhidmatan bercukai yang diimport dan perkhidmatan digital.

Di samping itu, liputan cukai perkhidmatan turut akan diperluas bagi menyelaras dan memberi layanan cukai sama rata ke atas perkhidmatan tertentu dalam industri yang sama. 

Sebagai contoh, pusat karaoke yang berunsur hiburan akan dikenakan cukai perkhidmatan sebanyak lapan peratus, sama seperti pusat-pusat hiburan lain yang merangkumi kelab malam, dewan tari menari, kabaret dan pusat kesejahteraan. 

Perkhidmatan broker dan penajajaminan, yang kini hanya dikenakan kepada perkhidmatan kewangan akan diperluas kepada perkhidmatan industri broker lain seperti broker kapal/kapal terbang, komoditi dan hartanah.

Bagi membolehkan syarikat melaksanakan perubahan dalam cukai perkhidmatan, kerajaan bersetuju dengan tarikh pelaksanaan berikutnya iaitu 1 Mac 2024 bagi orang berdaftar sedia ada menyediakan perkhidmatan bercukai sedia ada dan orang berdaftar sedia ada menyediakan perkhidmatan bercukai baharu, sementara orang berdaftar baharu menyediakan perkhidmatan bercukai baharu adalah 1 April 2024.

Kerajaan menjangkakan perubahan itu tidak menyebabkan kenaikan mendadak kepada harga perkhidmatan, sekali gus tidak akan membawa kejutan kepada ekonomi. 

Ia berikutan kenaikan kadar cukai sebanyak dua mata peratusan ituhanya membabitkan beberapa perkhidmatan bercukai.

Senarai penuh perkhidmatan-perkhidmatan bercukai dan soalan lazim (FAQ) boleh didapati di https://www.mof.gov.my/portal/ms/berita/soalan-lazim/soalan-lazim-peluas….