Sorting by

×

Kementerian Ekonomi diminta menyelaras mesyuarat di peringkat jawatankuasa kerja bagi menyusuli beberapa cadangan berhubung penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura Special Economic Zone (JS-SEZ).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perkara itu dimaklumkan ketika beliau mempengerusikan Mesyuarat Pembangunan Negeri Johor di Putrajaya, yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, beberapa menteri serta ketua setiausaha kementerian yang terlibat.

Mesyuarat itu juga dihadiri Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan negeri berkenaan.null

“Mesyuarat telah membincangkan status terkini kemajuan JS-SEZ dan Zon Kewangan Khas (SFZ),” kata Perdana Menteri menerusi hantaran di media sosialnya, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beberapa program dan projek menaik taraf infrastruktur dan kemudahan rakyat juga dibincangkan dalam mesyuarat itu.

“Antaranya Lebuhraya Senai ke Sedenak, Sedenak ke Simpang Renggam dan Senai ke Desaru. Rancangan Tebatan Banjir bagi daerah Segamat, Kota Tinggi dan di Batu Pahat. Pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2 dan kerja-kerja menaik taraf Hospital Sultanah Aminah, Bangunan Sultan Iskandar serta Kompleks Sultan Abu Bakar.

“Cadangan penyuraian, pengurusan trafik dan kesesakan lalu lintas di Bandaraya Johor Bahru serta hala tuju Iskandar Rapid Transit. Bekalan air Johor melibatkan Sungai Pontian Besar, Sungai Sedili Besar, Sungai Gembut, Air Layang 2 dan Sungai Johor,” katanya.

Perdana Menteri berkata, semua projek itu merupakan inisiatif berimpak tinggi kepada rakyat khususnya warga Johor yang akan menikmati manfaat jangka panjang. – BERNAMA