Sorting by

×

Kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) komited untuk memperbanyak lagi program yang akan membawa masyarakat ke arah kesatuan dan perpaduan di negara ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Mohd Na’im berkata, beliau menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini yang antaranya menyeru semua lapisan masyarakat untuk menjaga keharmonian negara serta tidak menyentuh isu-isu sensitif yang melibatkan raja, kaum dan agama (3R).

“Agensi agama di bawah saya akan teruskan usaha sebar luaskan Islam dan dalam masa sama hormati agama lain. Jakim dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) boleh kolaborasi dengan bangsa dan agama lain.

“Kita nak tunjuk Islam ialah satu agama yang rahmah, Islam ialah agama yang menggalakkan kesatuan dan perpaduan serta mengajak semua umat ke arah keamanan dan kesejahteraan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen al-Quran di sini pada Isnin.

Seri Paduka Baginda dalam Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 hari ini bertitah supaya kerajaan merangka satu dasar untuk mengukuhkan keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Sementara itu, Mohd Na’im meminta setiap lapisan masyarakat termasuk Ahli Parlimen untuk tidak menyentuh isu 3R selaras titah Sultan Ibrahim.

“Saya harapkan agar rakyat secara keseluruhan khususnya Ahli Parlimen dengar titah Seri Paduka Baginda supaya perkara sensitif (3R) tidak disentuh atau dimanipulasi,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohd Na’im berkata, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dengan kekuatan seluruh agensi akan sentiasa bekerjasama untuk merangka dan menggerakkan program-program pendidikan al-Quran kepada masyarakat.

“Institusi masjid dan surau khususnya akan terus diupayakan sebagai madrasah kepada masyarakat untuk mempelajari serta memahami kupasan dan tafsiran al-Quran.

“Alhamdulillah, saya memerhati dan menyedari ada beberapa masjid dan surau khususnya di Wilayah Persekutuan telah maju menyusun program-program penghayatan al-Quran,” katanya.

Mohd Na’im menegaskan, usaha-usaha kreatif dan interaktif perlu digiatkan bagi mendekati anak-anak muda agar memahami serta menghayati al-Quran.

“Kerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan lain-lain agensi boleh diusahakan untuk menghasilkan program-program yang bersifat interaktif.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) komited untuk meningkatkan kelestarian syiar Islam, membentuk generasi al-Quran,” katanya. – Bernama