Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan menggunakan peruntukan RM6.8 bilion dalam Belanjawan 2024 bagi membantu meningkatkan produktiviti pekerja tempatan melalui program latihan kemahiran.
Menterinya Steven Sim Chee Keong, berkata setiap pekerja memerlukan gaji lebih baik dan setimpal termasuk majikan yang mahu kos lebih rendah dan keuntungan lebih tinggi.
“Jika dilihat, kedua-dua (keinginan) ini seakan bercanggah tetapi bagi saya bagaimana kita untuk tutup jurang perbezaan ini antara kos buat bisnes dan pekerja mendapat kebajikan dan gaji lebih baik adalah dengan meningkatkan produktiviti.
“Kalau tingkatkan produktiviti maka bukan saja majikan perniagaan boleh buat untung malah pekerja mendapat pampasan lebih bagus,” katanya selepas hadir pada Karnival Latih Madani (KLM) dan Program Kesuma Madani Tahun Baharu Cina di Dewan Ng Yam Huat, di sini, hari ini.
Lebih 1,000 pengunjung hadir pada program anjuran Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) dengan pembabitan pelbagai agensi antaranya Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Mengulas lanjut, beliau berkata, antara usaha itu termasuklah menawarkan program latihan kemahiran khususnya bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
“Secara keseluruhannya, kerajaan memperuntukkan RM6.8 bilion untuk latihan kemahiran khususnya TVET.
“Antara kementerian utama yang akan laksanakan program latihan ini ialah KSM dan kita (nak guna peruntukan) supaya (pekerja kita) diberi kemahiran lebih baik yang membolehkan produktiviti mereka meningkat.
“Dengan ada pensijilan dan kemahiran yang lebih baik mereka (pekerja) akan mendapat gaji dan upah dengan lebih tinggi, termasuk menguntungkan pihak majikan,” katanya.-Harian Metro Online