Sorting by

×

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sasar membina 100 buah Taman Rekreasi Madani pada tahun ini di seluruh negara, kata menterinya, Nga Kor Ming.

Dalam kenyataan pada Rabu, beliau berkata, inisiatif pembinaan taman itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Panel of Experts (POE) KPKT Bilangan 1 Tahun 2024, yang dipengerusikannya semalam.

Dalam sektor perbandaran mampan, KPKT telah menyasarkan membina 100 buah kawasan hijau awam di seluruh negara pada 2024, dengan peruntukan sebanyak RM50 juta.

“Sasaran ini melibatkan kerjasama merentasi jabatan di mana Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT), Jabatan Landskap Negara (JLN) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memainkan peranan penting dalam pelaksanaan inisiatif tersebut,” katanya.

Berdasarkan statistik 2022, Malaysia mempunyai seluas 23,433 hektar kawasan lapang yang berpotensi menjadikan kawasan hijau awam.

Sehubungan itu, Kor Ming berkata KPKT dalam proses mempercepatkan proses pewartaan kawasan lapang bagi memastikan kawasan lapang sedia ada tidak ditukar guna. – Bernama