Sorting by

×

Tiga pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) tempatan yang tersenarai di dalam Pusat Pemeriksaan Pengganas (TSC) Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat tidak mempunyai sebarang rekod berkaitan aktiviti keganasan di negara ini.

Perkara itu disahkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

“Berdasarkan semakan, rekod (mereka) bersih,” katanya ketika sidang akhbar di Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini pada Rabu.

Menurutnya, identiti kesemua 359 individu dan 53 NGO yang terlibat dengan Ops Ihsan telah ditapis sebelum operasi berkenaan dimulakan.

“Kita sedia maklum terdapat Ops Ihsan iaitu operasi kemanusiaan untuk membantu penduduk Gaza yang merupakan inisiatif kerajaan didokong penglibatan NGO.

“Sebelum Ops Ihsan dimulakan, semakan telah dibuat dan rekod keselamatan polis mendapati tiada penglibatan aktiviti keganasan,” jelas beliau.

Saifuddin berkata demikian mengulas mengenai surat tular yang mendedahkan tiga nama pemimpin NGO yang disenaraikan di bawah TSC FBI.

Ops Ihsan diilhamkan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, antara usaha Kementerian Luar sebagai penyelaras dengan pelbagai NGO bagi menggerakkan sokongan serta bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

Ia diketuai Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) bersama 53 NGO lain, termasuk Global Peace Mission (GPM) Malaysia, Red A Humanitarian Development Global, Mercy Malaysia, Pertubuhan Ihsan Johor dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim).

Tambah beliau, setakat ini satu laporan polis dibuat oleh koordinator Ops Ihsan berhubung penularan surat yang mendedahkan nama ketiga-tiga pemimpin NGO berkenaan.

“Saya kena tegaskan adalah penting bagi kita sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat dan mempunyai agensi keselamatan yang kompiten di dalam membuat tapisan keselamatan,” katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin menjelaskan, tindakan FBI itu terkait Rang Undang-undang Pencegahan Pembiayaan Antarabangsa Hamas oleh Amerika Syarikat (AS).

“Latar belakangnya AS dalam proses mengadakan RUU Pencegahan Pembiayaan Antarabangsa Hamas,” ujar beliau.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia tidak mengiktiraf RUU berkenaan yang memperlihatkan unsur ugutan kepada pihak ingin membantu rakyat Palestin.-Sinar Harian