Menjelang sesi Dewan Rakyat yang akan bersidang minggu depan, Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dinasihatkan memberi tumpuan kepada khidmat mereka menerusi jawatankuasa pilihan khas yang ditubuhkan di Parlimen.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata berbanding Kabinet bayangan yang dibentuk PN, jawatankuasa pilihan khas itu menjadi forum terbaik untuk memantau perjalanan setiap kementerian.
Jelasnya, jawatankuasa pilihan khas itu juga dianggotai Ahli Parlimen merentasi parti politik dan berupaya memainkan peranan semak imbang dengan lebih berkesan.
“Konsep Kabinet bayangan, adalah satu konsep yang acap kali disebut, kita belum bincangkan perkara ini dalam Jemaah Menteri tetapi secara prinsipnya, dari segi mutu hujah yang disampaikan oleh wakil rakyat ini dalam Parlimen, itu menjadi penanda aras.
“Jadi saya sarankan kepada rakan dalam PN untuk berkhidmat dengan baik melalui jawatankuasa pilihan khas yang boleh bersidang pada bila-bila masa,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada pembentukan Kabinet bayangan PN memberi kesan kepada Kabinet Kerajaan Perpaduan.
Justeru, Fahmi berkata, jawatankuasa pilihan khas terbabit perlu dimanfaatkan sepenuhnya.
Ditanya mengenai peranan Datuk Wan Saiful Wan Jan yang memegang portfolio berkaitan komunikasi dalam Kabinet bayangan berkenaan, Fahmi berkata, pihaknya meneliti semua kenyataan yang dikeluarkan Ahli Parlimen berkaitan isu yang berkait dengan kementeriannya.
“Sudah pasti pada waktu ini, tidak ada kelebihan yang diberikan kepada mana-mana (Ahli Parlimen) yang mungkin kalau mereka sendiri umumkan tetapi tidak diiktiraf Parlimen, maka itu adalah pengumuman mereka sendiri.
“Tetapi sekiranya ada sebarang perkara dibangkitkan oleh beliau atau sesiapapun berkenaan dengan isu komunikasi, jadi sudah menjadi tanggungjawab saya untuk menjawabnya di Parlimen.
“Jadi, tiada yang istimewa mengenai beliau (Wan Saiful),” katanya.
Tahun lalu, PN mengumumkan barisan ‘Kabinet’ mereka yang akan menyelaraskan pengurusan parti itu sebagai pembangkang di Parlimen.
Perkara itu diumumkan pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas berakhir Pemukiman Ahli Parlimen PN.-BH Online