Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pemimpin dan pemegang amanah di negara ini tidak bersikap rakus, angkuh dan gelojoh seperti dilakukan pegawai zaman penjajahan British satu ketika dulu.

Perdana Menteri berkata, sikap sedemikian tidak patut ada dalam diri pemimpin sekarang jika mereka ikhlas mahu membina Malaysia ke arah lebih baik.

Beliau berkata, sebagai generasi penerus kepada kepemimpinan negara, pemimpin harus berusaha mengangkat martabat negara, membangunkan ekonomi, meneruskan mutu pendidikan dan kesihatan, membangunkan sektor pelancongan serta industri supaya rakyat boleh hidup dengan lebih selesa.

“Kita tahu tak akan berada di sini mengecapi nikmat merdeka jika tidak kerana jasa tokoh besar kita terdahulu (yang) sanggup menggadai nyawa, harta benda untuk mencari dan mencapai kemerdekaan untuk negara.

“Ini juga peringatan kepada pemimpin yang memikul amanah sekarang supaya belajar daripada elemen dan ciri positif serta baik daripada mereka (pemimpin terdahulu) serta tidak terheret dengan amalan kerakusan, keangkuhan dan kegelojohan (seperti) pegawai penjajah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Ulang Tahun Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu ke-68 di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir di sini malam ini.

Hadir sama, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam; Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.

Pada majlis itu, keluarga bekas pemimpin kemerdekaan turut hadir, termasuk cucu Tunku Abdul Rahman, Tunku Muinuddin Putra; anak kepada Tun Abdul Ghafar Baba, Datin Seri Zainun; cucu kepada Tun VT Sambanthan, Kunjari Sambanthan serta cucu kepada Tun Tan Cheng Lock, Datin Paduka Tan Siok Choo.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, walaupun Perlembagaan negara dilihat memberi keistimewaan kepada orang Melayu, namun pada masa sama undang-undang tertinggi negara juga tidak menyisihkan kaum lain yang bersama-sama memperjuangkan kemerdekaan negara.

“Sebab itu dalam melakar Perlembagaan negara oleh pemimpin ketika itu, ditetapkan kedudukan Bahasa Melayu, agama Islam (sebagai) agama Persekutuan, hak keistimewaan (orang) Melayu dan kedaulatan raja Melayu, tetapi tidak pernah disebut maksud untuk meremehkan hak orang lain, merendahkan darjat orang lain atau menghina mereka (kaum bukan Melayu).

“Ini kerana mereka diiktiraf sebagai warganegara yang sah bersama dalam Tanah Melayu dalam memperjuangkan kemerdekaan… ini pengajaran penting bagi negara kita,” katanya.

Perdana Menteri turut memuji usaha Kerajaan Melaka pimpinan Ab Rauf yang berjaya mengimbau sejarah kegemilangan pengisytiharan tarikh kemerdekaan yang diadakan malam ini.

“Malam ini atas ikhtiar Ketua Menteri, kita berhimpun bagi mengimbau detik sejarah yang bemakna di Banda Hilir, mengenang semangat perjuangan, pengorbanan dan detik penting sejarah kemerdekaan tanah air.

“Mengenang jasa dan perjuangan rakyat Melaka dan Tanah Melayu pada ketika itu dan menebus kembali hak pusaka, tanah yang dijajah, maka diisytiharkan 31 Ogos 1957 di kota bersejarah Kota Melaka yang pernah dirobohkan, membangunkan semula dan sekarang di bawah kepemimpinan Ab Rauf, Melaka akan gagah perkasa semula, insya-Allah,” katanya.-BH Online