Sorting by

×

Malaysia memberi komitmen dan sedia berkongsi pengetahuan serta teknologi berkaitan bidang akuakultur dengan negara luar untuk kepentingan bersama, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Dalam hantaran menerusi Facebook beliau hari ini, Mohamad berkata, kesediaan dan komitmen Malaysia itu dimaklumkannya kepada Ketua Pengarah Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Qu Dongyu, ketika sesi perbincangan dua hala mereka pada Mesyuarat Regional Conference for Asia and the Pacific (APRC) FAO di Sri Lanka.

“Industri akuakultur di Malaysia merupakan industri yang berkembang pesat dengan prestasi pengeluaran yang amat baik,” katanya.

Menurut Mohamad, kolaborasi antarabangsa penting bagi memastikan pertanian negara tidak ketinggalan dalam arus perkembangan teknologi serta untuk mendepani cabaran perubahan cuaca ketika ini.

Mohamad berkata beliau turut berkongsi dengan Qu berkenaan inisiatif pertanian PINTAR Malaysia.

Mengenai mesyuarat FAO yang sedang berlangsung di Colombo itu Mohamad berkata beliau akan memberi fokus kepada perkara-perkara yang akan diutamakan dalam sektor pertanian di Malaysia. – BERNAMA