Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi tempoh sebulan kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk mengemukakan laporan lengkap pencapaian setahun lalu dan pelan hala tuju untuk meningkatkan prestasi serta mengatasi kelemahan yang ada.
Perdana Menteri berkata, beliau mahu MAIWP menjadi contoh dan teladan kepada negeri lain dalam urusan kutipan zakat dan penyelarasan bantuan kepada golongan yang memerlukan.
Mengambil contoh kepemimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz, Perdana Menteri berkata, dalam masa dua tahun tiga bulan pemerintahannya, masalah miskin tegar berjaya diselesaikan, hasil pengurusan dan tata kelola yang baik.
“Saya mahu MAIWP dalam tempoh sebulan, saya nak tahu inventori, buku berapa yang ada yang belum diedar, di pejabat apa yang ada, semua itu inventori mengikut tradisi Islam yang betul dan barangan itu bila diurus zakat dengan begitu baik.
“Saya mahu MAIWP mengemukakan cadangan bagaimana boleh menjadi Majlis Agama Islam terbaik dan pengurusan serta tata kelola terbaik serta mengenepikan apa saja perbelanjaan yang tidak perlu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Karnival MAIWP di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai’im Mokhtar; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Pengerusi MAIWP, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer.
Pada masa sama, Perdana Menteri sekali lagi menegaskan budaya mengaut harta rakyat untuk kepentingan peribadi dan memperkaya saudara mara mesti dihentikan.
“Menoktahkan kemiskinan itu betul tapi memperbaiki tata kelola juga penting dan pastikan, kita mampu membawa contoh, jangan kekalkan amalan begini.
“Bukan sekadar jabatan kerajaan dan orang politik, kadang-kadang dana zakat pun ada kisah diselewengkan. Jadi, sebab itu kita harus ambil sikap sangat tegas,” katanya.
Beliau turut mengingatkan semua pihak yang terbabit dalam penyelewengan tidak akan terlepas, sama ada di peringkat atas atau bawah.
“Jika di negara ini, kita mula (ambil tindakan) dengan peringkat orang atas, yang gondol kekayaan berbilion ringgit, biar kita ingatkan di peringkat bawah.
“Jika di atas pun kita berani melalui SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri), PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan agensi lain melaksanakan (penguatkuasaan) dengan tegas, saya ingin ingatkan, tidak ada yang lain yang boleh terlepas,” katanya.-BH Online