Dunia memerlukan agenda perdagangan baharu dengan pendekatan terkini yang membentuk persaingan bersama menuju kejayaan masa hadapan atau disebut sebagai agenda perdagangan baharu.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong, berkata agenda baharu itu perlu mengambil kira bahawa perdagangan mesti memastikan pekerja dibayar dengan baik, selain ekonomi maju dan negara membangun dapat mengekalkan kelas pertengahan yang kukuh.
“Ia juga perlu memastikan negara menerima cukai yang mencukupi daripada syarikat multinasional untuk menawarkan kemudahan, terutamanya perkhidmatan kesihatan, dan ia bagi memastikan perpaduan sosial dijaga,” katanya ketika menyampaikan ucaptama majlis perasmian mesyuarat pertama Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) di sini, hari ini.
Yang turut serta, Pengarah Eksekutif Sekretariat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), Tan Sri Dr Rebecca Fatima Sta Maria; Pengerusi ABAC, Julia Torreblanca; dan Ketua Keahlian ABAC Malaysia, Datuk Rohana Mahmood.
APEC kekal menjadi forum penting untuk penggubalan strategi ekonomi dan aspirasi Malaysia, selaras dengan agenda kerjasama ekonomi serantau itu.
Chin Tong berkata, ia dibuktikan dengan pelancaran Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang amat sejajar dengan komitmen Malaysia terhadap kemudahan perdagangan APEC.
“Dasar ini telah diperkenalkan pada saat yang sangat sesuai yang bertepatan, yang diistilahkan sebagai ‘pemulaan ekonomi kedua Malaysia’. Teras NIMP 2030 dan NETR selaras dengan agenda APEC dan membentuk keutamaan kerjasama ekonomi yang leih erat.
“Ia juga juga menunjukkan penekanan kita terhadap penciptaan dan penggunaan teknologi canggih; mengutamakan inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG); pecutan peralihan tenaga; serta pertumbuhan inklusif,” katanya.
Tahun ini, giliran Peru memimpin APEC dengan tema ‘People. Business. Prosperity’.
Chin Tong berkata, Malaysia memuji usaha Peru dalam pertumbuhan inklusif dengan mempromosikan peralihan gerakan ekonomi tidak formal kepada formal dan global.
“Inisiatif sedemikian selaras dengan keutamaan Malaysia kerana memiliki persamaan dalam pembentukan ekonomi kita.
“Seperti yang sering ditekankan, Malaysia perlu membayangkan untuk menjadi masyarakat kelas pertengahan, dengan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) memainkan peranan yang penting sebagai tulang belakang ekonomi kita,” katanya.
Beliau menegaskan, kewujudan APEC sebagai forum komunikasi adalah satu kejayaan dalam era geografi yang sering berdepan ketegangan.
“Dalam konteks penjajaran dasar inilah ABAC memainkan peranan pentingnya. Di sebalik agenda memudahkan perdagangan dan pelaburan, ABAC juga perlu muncul sebagai jaguh dialog dan persefahaman yang teguh, kuasa proaktif yang menggalakkan kestabilan dan kemampanan ekonomi di rantau kita.
“Melalui komunikasi terbuka, minat bersama dan komitmen yang tidak berbelah bahagi kepada kerjasama ekonomi, kita boleh merapatkan jurang dan mengukuhkan Asia Pasifik yang lebih berdaya tahan.
“Adalah penting untuk kita meraih hasil ketara dengan mengambil pandangan daripada ABAC. Ia akan membantu kerajaan merealisasikan visi dan misi APEC. Untuk memanfaatkan peluang tanpa had terhadap pertumbuhan, perkongsian awam-swasta dan kerjasama antara kerajaan APEC dan sektor swasta,” katanya.-BH Online