Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Kompetensi Dewan Undangan Negeri diberi tempoh setahun mengemukakan sebarang cadangan kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) untuk diperhalusi sebelum diangkat kepada Majlis Raja-Raja. 

Usaha berkenaan, termasuk mengkaji jka ada keperluan untuk mencadangkan pindaan peruntukan tertentu dalam Perlembagaan Persekutuan dan/atau undang-undang Persekutuan yang berkaitan.

Demikian titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Pengerusi MKI sempena Mesyuarat MKI kali Ke-71 hari ini, bagi memastikan kuasa Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang jenayah syariah termaktub secara jelas dalam Perlembagaan Persekutuan tanpa sebarang kekaburan ambiguity.

Terdahulu, Sultan Selangor disembah maklum bahawa jawatankuasa khas yang ditubuhkan atas titah baginda pada mesyuarat MKI ke-70 pada 28 Ogos 2023, sedang meneliti persoalan yang berbangkit.

Dalam titah diedar melalui satu kenyataan hari ini, baginda memulakannya dengan mengingatkan semua pihak harus menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan dan kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara yang perlu sentiasa didokong rakyat Malaysia.

Jumaat lalu, Mahkamah Persekutuan, dalam satu keputusan bersejarah, mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Keputusan terhadap petisyen dikemukakan peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman itu dibacakan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Menangani isu berbangkit, Sultan Selangor menegaskan, apa yang lebih penting ialah usaha mencari jalan untuk mengatasi segala permasalahan yang timbul.

Ia, titah baginda, adalah dengan mengkaji kaedah memperluaskan kompetensi Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang jenayah syariah dalam kerangka yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan. 

“Usaha-usaha ini termasuklah mengkaji sekiranya ada keperluan untuk mencadangkan pindaan kepada peruntukan tertentu Perlembagaan Persekutuan dan/atau undang-undang Persekutuan yang berkaitan.

“Ia bagi memastikan kuasa Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang jenayah syariah termaktub secara jelas dalam Perlembagaan Persekutuan tanpa sebarang kekaburan ambiguity,” titah Sultan Sharafuddin.

Sultan Selangor bertitah, baginda maklum pelbagai pihak, terutama ahli-ahli politik, pengamal undang-undang, ahli akademik dan rakyat biasa telah membuat pelbagai ulasan dan tafsiran terhadap keputusan kes Mahkamah Persekutuan pada Jumaat lalu.

“Terdapat ulasan yang memberi penjelasan sebenar tentang kesan kepada keputusan kes tersebut. Namun demikian terdapat juga ulasan berdasarkan kepada polemik kepentingan pihak-pihak tertentu sehingga menimbulkan pelbagai kekeliruan kepada umat Islam di negara ini. 

“Malah ada yang telah menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut sebagai detik Black Friday kepada undang-undang jenayah syariah Islam di negara ini. Beta tidak berhasrat untuk turut sama terlibat dalam polemik tersebut,” titah baginda.

Sultan Selangor memaklumkan, antara disembah maklum kepada baginda pada Mesyuarat MKI kali Ke-71 hari ini, ialah melaksanakan kajian terhadap isu berkaitan kompetensi, termasuk analisis terhadap peruntukan undang-undang sedia ada secara menyeluruh.

“Selain itu, mengkaji keputusan-keputusan mahkamah tertinggi serta membincangkan isu-isu tersebut secara terperinci,” titah baginda.

Seterusnya, mencadangkan serta membuat pengesyoran kaedah penyelarasan terbaik dan harmoni terhadap isu kompetensi Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang Islam.

Baginda turut dimaklumkan, kajian juga terhadap bidang kuasa Mahkamah Syariah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan mengkaji kaedah memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

“Jawatankuasa khas ini diberi tempoh setahun dari tarikh ia ditubuhkan untuk memberikan sebarang cadangan kepada MKI dan seterusnya diangkat kepada Majlis Raja-Raja untuk diperhalusi dan diperkenankan. 

“Beta menyeru dan menggesa semua pihak, termasuk pakar-pakar perundangan agar membantu jawatankuasa khas ini dengan memberikan cadangan-cadangan yang berilmiah, bernas serta praktikal bagi memudahkan jawatankuasa khas ini melaksanakan tugas mereka,” titah baginda.

Sultan Selangor bertitah, baginda faham mengenai amanah berat yang perlu dipikul oleh jawatankuasa khas berkenaan.

Namun, baginda percaya dengan pengalaman dan kelayakan yang ada pada ahli-ahli jawatankuasa khas serta dengan izin Allah SWT, satu penyelesaian dapat dicapai bagi manfaat semua pihak terutama umat Islam di negara ini.

“Beta menyeru umat Islam di negara ini agar terus memperkukuhkan komitmen terhadap perpaduan dan ukhuwah yang selama ini menjadi teras kepada kemajuan negara. 

“Sesungguhnya akar persaudaraan yang kukuh dalam kalangan masyarakat Islam mampu menjana kejayaan dan kecemerlangan kepada kemakmuran serta kedaulatan negara keseluruhannya.

“Berdasarkan hasrat itulah, perselisihan dan pertikaian yang muncul dalam kalangan masyarakat berkaitan apa-apa isu sekalipun, perlu diurus dengan penuh tertib, ketinggian hikmah serta bersikap adil kepada semua pihak,”titah baginda.-BH Online