Sorting by

×

Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pihak berkepentingan memberi pandangan kepada Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-undang Islam. 

Perdana Menteri menegaskan, tindakan itu perlu bagi mengelak keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan 16 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan minggu lalu terus dimanipulasi dan dijadikan isu. 

Beliau berkata, kerajaan senada dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, hari ini yang menekankan keperluan untuk meredakan suhu terkait keputusan mahkamah tertinggi itu, khususnya yang menyentuh kedudukan Mahkamah Syariah.

“Isu ini menjadi isu politik..sangat hangat (diperdebatkan). Cerca mencerca, penghinaan kepada hakim dan sebagainya. Keputusan Mahkamah Persekutuan menurut tuanku perlu dihormati kerana Mahkamah Persekutuan tunduk kepada hukum dan semangat perlembagaan.

“Tak timbul nak meringankan dan meremehkan kedudukan Mahkamah Syariah. Kalau ada pun cadangan dan tindakan boleh rujuk kepada jawatankuasa khas berkenaan supaya dapat dikaji masalah dibangkitkan negeri dan masyarakat Islam tapi tonggak Perlembagaan tak boleh dirungkai,” katanya. 

Beliau berkata demikian berucap pada Program Sambutan Tahun Baru Cina anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCM) di sini, hari ini.

Turut sama hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan menteri-menteri Kabinet lain serta Presiden ACCCM, Tan Sri Low Kian Chuan.-BH Online