Sorting by

×

Dalam berkelana dan kesibukan mencari rezeki di Malaysia, ia tidak menghalang warga Indonesia menunaikan tanggungjawab kepada tanah air mereka untuk melaksanakan undi awal sempena Pemilihan Umum (PEMILU) 2024 hari ini.

Cuti umum sempena perayaan Tahun Baharu Cina memberi peluang kepada warga Indonesia untuk menghadirkan diri di enam pusat pengundian yang dibuka di Malaysia pada Ahad iaitu di Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang, Sabah (Kota Kinabalu dan Tawau) dan Sarawak (Kuching).

Tinjauan Bernama di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di ibu negara iaitu satu daripada enam pusat pengundian berkenaan mendapati situasi terkawal dan berjalan lancar, dengan kelihatan kehadiran pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk mengawal keselamatan dan lalu lintas.

Penganalisis data, Kartika Utami, 32, yang berasal dari Jakarta ketika ditemui selepas menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi berkata proses mengundi berjalan lancar dan sebelum ini beliau mengundi di Indonesia dan melakukan pendaftaran pemindahan pusat mengundi, serta menitipkan harapan agar pemimpin Indonesia terpilih akan membawa lebih kemajuan kepada negara.

Pelajar Universiti Malaya Omaraja Kaminaldi, 20, dari Jakarta berkata ini adalah pengalaman pertamanya mengundi memandangkan di Indonesia umur layak mengundi adalah 17 tahun.

“Saya berharap presiden baharu akan peduli hal anak-anak muda terutama dari segi pendidikan dan pekerjaaan. I hope there will be a significant change,” katanya yang tiba di pusat pengundian berkenaan seawal 5.30 pagi kerana tidak mahu melepaskan peluang mengundi.

Di PULAU PINANG, proses pengundian awal bagi warga Indonesia di tiga negeri iaitu Pulau Pinang, Kedah dan Perlis dijalankan di Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) yang melibatkan 5,375 pemilih berdaftar.

Seorang pengundi Munira Ahmad, 35, yang berasal dari Medan, Indonesia menzahirkan keterujaan dan menggunakan peluang cuti umum hari ini untuk menunaikan tanggungjawab memilih pemimpin negaranya itu buat pertama kali selepas tujuh tahun menetap di Pulau Pinang.

“Saya berharap sesiapa pun yang akan mentadbir negara Indonesia pemimpinnya perlu terus membela nasib rakyat dan memastikan Indonesia terus aman sejahtera. Hidup aman damai, itu sahaja yang kita mahu,” katanya.

Ketua Pemilihan Panitia Luar Negeri (PPLP) KJRI Nanie Kurniasari memberitahu Bernama bahawa pemilihan melalui peti undi bergerak telah dijalankan di komuniti penempatan warga Indonesia, kilang dan ladang yang bermula 1 Februari lalu hingga semalam di tiga negeri tersebut membabitkan 42,660 orang.

Di JOHOR, Ketua Pelaksana PEMILU Luar Negara Johor Bahru Ardiyanshah Syahrom berkata proses mengundi untuk pemilih berdaftar di pusat mengundi KJRI Johor Bahru melibatkan seramai 2,684 orang, dan KJRI Johor Bahru juga mengendalikan pemilihan menerusi peti undi bergerak untuk empat negeri iaitu Johor, Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka.

“Total pemilih di empat negeri termasuk Johor adalah seramai 119,491 orang, dengan Johor seramai 90,666 orang. Peti undi atau (drop box) kita berjalan sejak 5 Februari sehingga hari ini. Sehingga 9 Februari, kita telah dapat votes 55,000 ribu pemilih (menerusi peti undi bergerak),” katanya pada sidang media di KJRI Johor Bahru pada Ahad.

Yulia Deswita Marlis, 42, yang bekerja di Johor sejak 21 tahun lalu berharap pemimpin baharu mereka akan mengutamakan usaha mewujudkan banyak peluang pekerjaan buat rakyat dan memastikan ekonomi bertambah baik. 

Di SABAH, proses pengundian di Sabah untuk 158,111 pengundi berdaftar yang dilaksanakan di Kota Kinabalu berlangsung di dua lokasi iaitu KJRI Kota Kinabalu dan Sekolah Indonesia Kota Kinabalu di Sepanggar manakala di Tawau pula di Kompleks Sukan Tawau.

Di KJRI Kota Kinabalu, petugas sekolah memandu Karolus Lukas, 52, dan isteri Kasimah Pelilie Raring, 50, yang tinggal lebih 10 tahun di Malaysia, berkata mereka tidak akan melepaskan peluang mengundi setiap kali tiba PEMILU kerana ia adalah tanggungjawabnya sebagai rakyat Indonesia.

Mereka mengharapkan pemimpin terbaik yang dapat menjaga hubungan baik dengan Malaysia yang merupakan saudara serumpun. 

Di Tawau, Suherbu Hamide, 50, yang berasal dari Sulawesi selatan, berharap pemimpin yang dipilih mampu menggalas tugas dengan baik sebagai ketua negara dan mengambil berat rakyat yang bekerja di luar negara. 

Di SARAWAK, proses pengundian berlangsung di Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) di Kuching dan menurut KJRI di Kuching Raden Sigit Witjaksono, setakat pukul 2 petang, sejumlah 80 peratus rakyat Indonesia di Sarawak telah menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi.

Beliau berkata di Sarawak sejumlah 64,900 warga Indonesia layak mengundi dengan majoriti 61,912 pengundi menggunakan kaedah model Kotak Suara Keliling (KSK) dan selebihnya 2,988 lagi pengundi adalah menerusi model Tempat Pemungutan Suara (TPS) di KJRI.

“Untuk warga Indonesia yang tinggal jauh di kawasan ladang, proses yang digunakan adalah model Kotak Suara Keliling yang dijaga oleh empat petugas dan seorang pengawas yang melibatkan sejumlah kira-kira 500 surat suara,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata Pemilu KSK dilaksanakan bermula pada 4 Feb hingga semalam melibatkan Lawas-Limbang, Miri, Batu Niah, Bintulu, Sibu, Mukah, Beton-Pusa, Sri Aman, Kuching dan sekitarnya.

Beliau berkata proses pengiraan undi akan dijalankan Rabu ini di Penview Convention Centre (PCC) serentak dengan PEMILU di Indonesia dan hasil keputusan akan diserahkan kepada Panitia Pemilihan Luar Negeri ke Komisi Pemilihan Umum Jakarta pada hari sama.

Sebelum ini, Duta Besar Indonesia ke Malaysia Datuk Hermono memberitahu Bernama sebanyak 832,420 rakyat Indonesia yang menetap di Malaysia berdaftar sebagai pemilih.

Daripada jumlah keseluruhan itu Hermono menjangkakan sekitar 30 peratus akan menunaikan tanggungjawab mereka pada proses undi awal PEMILU 2024 pada Ahad. 

Jumlah pemilih berdaftar warganegara Indonesia di Malaysia mewakili hampir separuh iaitu 47.55 peratus daripada 1.75 juta pengundi dalam daftar pemilih luar negeri di seluruh dunia bagi PEMILU kali ini.

Kira-kira 240 juta rakyat Indonesia akan meraikan pesta demokrasi dalam PEMILU 2024 pada Rabu ini untuk memilih presiden, naib presiden, ahli Perhimpunan Perundingan Rakyat dan wakil untuk badan perundangan tempatan.

Pengundian kali ini bakal menyaksikan pemimpin baharu menggantikan Presiden Joko Widodo atau Jokowi yang akan menamatkan penggal kedua dan terakhirnya pada Oktober.

Perlumbaan untuk merebut kepimpinan tertinggi bagi negara demokrasi ketiga terbesar di dunia melibatkan tiga pasangan yang terdiri daripada calon presiden dan naib presiden. 

Ia melibatkan calon presiden Anies Baswedan dan calon naib presiden Muhaimin Iskandar atau Cak Imin; pasangan Menteri Pertahanan Prabowo Subianto dan regunya iaitu anak sulung Presiden Joko Widodo – Gibran Rakabuming Raka; dan pasangan Ganjar Pranowo, bekas gabenor Jawa Tengah bersama Mahfud MD, bekas Menteri Koordinator Politik, Undang-undang dan Hal Ehwal Keselamatan. – Bernama