Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kerajaan Johor akan membuat kajian teliti berhubung kesan keputusan Mahkamah Persekutuan pada Jumaat lalu, yang membatalkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata langkah itu penting kerana ia bukan sahaja sensitif malah ia bagi memastikan apa juga keputusan dibuat di peringkat negeri, tidak bercanggah dengan Persekutuan.

“Di peringkat kerajaan Johor, kita perlu membuat kajian lebih teliti kerana kita tidak mahu apa yang diputuskan di peringkat Persekutuan berbeza dengan apa yang diputuskan di peringkat negeri.

“Ini adalah satu perkara yang sangat sensitif yang perlu dikaji dengan cukup rapi sebelum apa-apa keputusan diambil,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Johor, di sini, hari ini.

Hadir sama Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled dan Timbalan Pengerusi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Jumaat lalu, panel lapan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan membatalkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Ia susulan petisyen dikemukakan seorang peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.

Tengku Maimun dalam penghakiman panel dilaporkan berkata mahkamah membenarkan petisyen itu kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) membuat undang-undang yang ia tidak mempunyai kuasa untuk membuatnya.

Keputusan berkenaan dicapai melalui penghakiman majoriti 8-1 di mana Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli, membuat keputusan berbeza.

Kedua-dua pempetisyen memohon Mahkamah Persekutuan membatalkan 18 kesalahan syariah dalam enakmen Kelantan atas alasan DUN terbabit bertindak melangkaui bidang kuasanya.

Bagaimanapun panel memutuskan dua lagi peruntukan kesalahan adalah sah.

Sementara itu, Ahmad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata UMNO Johor juga mempunyai pandangan serupa dengan UMNO Pusat untuk memperkasakan Mahkamah Syariah.

“UMNO tentunya mahu Mahkamah Syariah terus dipertingkatkan dan diperkasakan. 

“Jika perlu ada pindaan Perlembagaan, maka kita akan bincangkan di peringkat tertinggi untuk memperkasakan kedudukan Mahkamah Syariah,” katanya.-BH Online