SHAH ALAM: Hospital Petaling Jaya bakal dibina dengan konsep vertikal dan mampu menampung kapasiti 500 katil.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, konsep vertikal sama sebelum ini sudah dilaksanakan di Hospital Ampang tanpa perlu bergantung kepada tanah yang terlalu luas dan mengoptimumkan kos bagi Kementerian Kesihatan (KKM).
Beliau berkata, kerajaan negeri menyambut positif pemaklumkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berhubung persetujuan lokasi tapak yang dicadangkan untuk pembinaan Hospital Awam Petaling Jaya.
“Usaha mencari tapak bagi hospital awam Petaling Jaya sudah digerakkan secara aktif oleh kerajaan negeri sejak 2018 dengan mengambil kira peningkatan jumlah penduduk di daerah Petaling yang kini mencecah 2.3 juta orang.
“Di Petaling Jaya sahaja, jumlah penduduk kini melebihi 800,000 orang dan mereka ketika ini banyak bergantung kepada Hospital Sungai Buloh, Hospital Shah Alam serta Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Dzulkefly dilaporkan berkata, sebuah kompleks sukan moden di tapak seluas enam hektar, X Park PJ South di Taman Medan dikenal pasti sebagai tapak pembinaan hospital awam bagi keperluan penduduk Petaling Jaya, Subang dan Puchong.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata, Hospital Sungai Buloh kini mempunyai kapasiti 1,037 katil, Hospital Shah Alam (490 katil), manakala PPUM (946 katil).
Katanya, kerajaan negeri sebelum ini turut bekerjasama rapat dengan KKM dalam menangani isu kesesakan hospital awam di Selangor termasuk pembinaan Hospital Cyberjaya dan Hospital Tanjong Karang yang siap pada 2022.
“Hospital Cyberjaya mempunyai kapasiti 288 katil manakala Hospital Tanjong Karang pula 150 katil dan kedua-duanya dibina hasil kerjasama KKM bersama kerajaan negeri dari segi urusan tanah.
“Selain itu, Hospital Kapar berkapasiti 312 katil yang dijadual siap hujung tahun ini juga dijangka membantu mengurangkan kesesakan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang dan Hospital Shah Alam,” katanya.
Beliau berkata, lokasi tapak Hospital Petaling Jaya yang dipersetujui KKM amat bersesuaian dengan keperluan penduduk setempat terutama dari segi akses, kapasiti, kos tanah dan kedudukannya yang berhampiran kawasan tumpuan penduduk.
Amirudin berkata, lawatan tapak oleh KKM akan dilaksanakan minggu ini dengan turut disertai agensi serta pegawai kerajaan negeri termasuk Unit Perancang Ekonomi Negeri, Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Pejabat Daerah Petaling.
Katanya, kerajaan negeri komited memudahcara serta menyegerakan proses berkaitan urusan tanah bagi memastikan projek pembinaan Hospital Petaling Jaya dapat direalisasikan demi manfaat penduduk sekitar Petaling Jaya, Subang Jaya dan Puchong.-BH Online
