Sorting by

×

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berterima kasih kepada AirAsia kerana menyokong inisiatif kerajaan dalam menyediakan penerbangan tengah malam pada kadar tambang tetap ke Sabah, Sarawak dan Labuan sempena Tahun Baharu Cina. 

Menerusi video terbaharu di Facebook, Loke berkata inisiatif itu menjadikan ia lebih mampu ditampung untuk rakyat Sabah dan Sarawak pulang ke kampung meraikan Tahun Baharu Cina dengan tambang serendah RM298.

“Saya ingin berterima kasih kepada AirAsia kerana menyokong inisiatif kerajaan menyediakan lebih banyak penerbangan tambahan tengah malam pada tambang tetap,” katanya. 

Sebagai menunjukkan penghargaannya terhadap usaha dibuat oleh AirAsia itu, Loke juga telah memberikan kemeja-T merah percuma kepada penumpang penerbangan AK9070 ke Sibu, Sarawak pada 7 Februari lalu, simbol kepada kemakmuran dalam meraikan ketibaan Tahun Naga hari ini.

Pada 15 Disember lalu, Loke mengumumkan kerajaan bersetuju untuk memberi subsidi kepada pembelian tiket penerbangan kelas ekonomi melebihi RM599 untuk perjalanan sehala dari Semenanjung ke Sabah, Sarawak dan Labuan, selama tiga hari sebelum musim perayaan utama termasuk Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Kaamatan, Hari Gawai dan Krismas. – Bernama