Sorting by

×

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengukuhkan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak, bagi membanteras ketirisan minyak diesel bersubsidi di negeri itu.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata perkara tersebut antara tumpuan utama dalam perbincangan bersama Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata di Kuching, hari ini.

“Antara perkara yang kita bincang tadi adalah cara kita nak memperkemas prosedur operasi standard (SOP) penyerahan kes. Ini supaya mana-mana agensi yang mengesan pelanggaran undang-undang berkaitan diesel, mereka akan dapat serah kes dengan segera selain SOP yang betul.”

“Ini penting untuk pastikan bukti-bukti diserahkan, kemudian tindakan lanjut daripada pihak KPDN,” kata Armizan kepada pemberita dalam sidang media pada sesi walkabout Program Jualan Rahmah Parlimen Santubong di Mydin Bandar Baru Samariang, di sini, hari ini.

Armizan mendedahkan pada tahun 2023, sebanyak 168 kes penyeludupan dan penyelewengan diesel bersubsidi direkodkan di Sarawak melibatkan nilai rampasan melebihi RM6.5 juta.

Daripada jumlah kes tersebut, hampir 62% adalah melalui serahan kes pihak polis.

Sementara itu, bagi seluruh negara pula, sebanyak 877 kes ketirisan minyak diesel direkodkan tahun lepas melibatkan nilai rampasan melebih RM14.2 juta.

Datuk Armizan turut mendedahkan untuk tahun ini, skop Ops Tiris akan diperkukuh bukan sahaja meliputi minyak diesel bersubsidi malah diperluaskan kepada barang kawalan lain seperti Petrol RON 95, minyak masak polibeg 1 kilogram bersubsidi, LPG dan gula pasir bertapis.-Berita RTM