Sorting by

×

Kerajaan Melaka memohon pertimbangan daripada kerajaan Persekutuan untuk meluluskan jumlah pengisian penjawat awam sehingga mencapai siling yang ditetapkan sebanyak 92 peratus.

Ketua Menteri , Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata langkah itu supaya segala dasar yang dirangka oleh kerajaan Persekutuan dan negeri dapat dilaksanakan dengan lebih komprehensif.

Beliau berkata, setakat ini, keseluruhan penjawat awam di Melaka kini berjumlah 36,300 orang merangkumi lantikan tetap dan kontrak daripada pelbagai skim perkhidmatan termasuk perkhidmatan beruniform di semua jabatan dan agensi negeri serta Persekutuan.

Katanya, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan mengikut Perkara 139 (2), Melaka dan Pulau Pinang antara negeri yang tidak boleh menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Negeri.

“Oleh itu, Pihak Berkuasa Melantik (PBM) bagi semua penjawat awam yang berkhidmat di jabatan negeri sama ada lantikan tetap atau Contract of Service (COS) adalah di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA). 

“Secara keseluruhan, peratus pengisian perjawatan tetap di Melaka ketika ini adalah sebanyak 83.9 peratus di mana jumlah ini masih belum mencapai siling pengisian yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) iaitu 92 peratus.

“Saya khuatir, sekiranya jumlah pengisian sebanyak 83.9 peratus ini akan terus menguncup memandangkan jumlah penjawat awam yang bakal bersara wajib sehingga akhir tahun ini adalah seramai 74 orang, ia memberi kesan kepada pengurangan jumlah penjawat awam dan akan menjejaskan kelancaran sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat khususnya di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada majlis amanat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada penjawat awam Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, beliau kerap mengingatkan kepada seluruh penjawat awam negeri supaya sentiasa mematuhi tata kelola dengan melaksanakan tadbir urus yang cekap dan berintergriti bagi melestarikan perkhidmatan awam.

“Justeru, saya sentiasa memantau dan memerhatikan segala gerak-geri penjawat awam di negeri ini supaya sentiasa meletakkan nilai moral, integriti dan tata kelola yang baik pada kedudukan tertinggi dalam apa jua urusan seharian,” katanya.-BH Online