Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyeru institusi pendidikan tinggi (IPT) di negara ini melihat kepada bidang seperti elektrik dan elektronik (E&E) dan kecerdasan buatan (AI) bagi memenuhi keperluan industri.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata terdapat permintaan tinggi dalam bidang itu yang memerlukan IPT memainkan peranan dengan melahirkan tenaga kerja berkemahiran.
“Kita hanya mempunyai kapasiti sekitar 5,000 sahaja (graduan dalam bidang E&E), maka universiti kena melihat juga dari segi keperluan industri sebegini. Dalam masa yang sama saya menekankan keperluan universiti termasuk kolej untuk melihat dari segi potensi dunia pendidikan pada hari ini.
“Sebagai contoh, dalam bidang AI yang sekarang ini merupakan satu bidang yang perlu diberikan perhatian oleh semua universiti bagi memenuhi keperluan negara,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri program libat urus Menteri Pendidikan Tinggi bersama perwakilan negara luar di sini,hari ini.
Zambry berkata beliau juga telah mengadakan pertemuan bersama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan naib canselor universiti bagi membincangkan perkara tersebut.
Sebelum ini, Tengku Zafrul dilapor berkata tenaga kerja mahir seperti dalam sektor E&E memerlukan 50,000 jurutera sedangkan IPT negara ini cuma menghasilkan 5,000 graduan setahun dalam bidang tersebut.-Berita RTM