Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS 2.0) membabitkan peruntukan RM100 juta akan disalurkan sepenuhnya oleh Agrobank bagi kerja-kerja penanaman semula sawit untuk pengusaha sawit khususnya pekebun kecil persendirian.
Insentif itu disediakan dan diperkenalkan kerajaan melalui Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Perladangan dan Komoditi serta diumumkan dalam Belanjawan 2024.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata dana yang disediakan terdiri daripada dua komponen iaitu geran (50 peratus) dan sebahagian lagi adalah pembiayaan (50 peratus) kepada pekebun kecil persendirian.
Beliau berkata, pembiayaan disediakan Agrobank dengan kadar faedah yang rendah iaitu kira-kira dua peratus.
“Peruntukan telah diluluskan sebanyak RM100 juta untuk membantu pekebun kecil bagi menanam semula pokok (sawit) yang dianggap tua.
“Ini adalah adalah peruntukan diberi secara 50 peratus geran dan 50 peratus daripada pinjaman Agrobank dengan kadar faedah dua peratus,” katanya sidang media sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Tahun 2023 di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin, Pengerusi MPOB, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha dan Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir.
Sementara itu, Ahmad Parveez berkata, nilai pembiayaan adalah RM14,000 sehektar untuk pekebun kecil sawit di Semenanjung Malaysia, manakala RM18,000 sehektar bagi pekebun kecil sawit di Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata, pekebun kecil sawit persendirian dengan jumlah pemilikan tanah bertanam sawit tidak melebihi 6.5 hektar di Semenanjung, manakala tidak melebihi 10 hektar di Sabah dan Sarawak.
Katanya, had maksimum kelulusan keluasan bagi insentif pembiayaan adalah 6.5 hektar saja bagi seluruh Malaysia dan proses permohonan dibuat di Agrobank.
Permohonan dibuka bermula 15 Januari 2024 dan borang boleh diperoleh di mana-mana pejabat TUNAS/Agrobank berhampiran kawasan pekebun kecil dan borang juga boleh dimuat turun di laman MPOB.-BH Online