Sorting by

×

Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam dan Kementerian Kerja Raya (KKR) perlu berbincang menyelesaikan masalah bekalan air kritikal di daerah ini dan projek pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Telibong Fasa II.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof 

berkata beliau sudah mendengar taklimat secara terperinci mengenai dua perkara terbabit.

“Projek (pembinaan LRA Telibong Fasa II) secara keseluruhan lebih 70 peratus (siap) dan beberapa isu yang perlu kita selesaikan.

“Daripada taklimat tadi, apa yang saya arahkan adalah untuk dua kementerian iaitu kementerian kami bersama KKR dan beberapa agensi terlibat untuk duduk berbincang bagaimana kita cari penyelesaian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mendengar taklimat mengenai status LRA Telibong Fasa II, di sini, hari ini.

Selain meninjau LRA Telibong Fasa II, beliau turut meninjau projek Pembahagian – Pencawang Pembahagian Utama (PPU) Gudon/Telipok, Kota Kinabalu dan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Moyog, Sabah – Pakej 3.

Mengulas lanjut, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awamberkata projek pembinaan LRA Telibong Fasa II yang sedang berjalan itu memerlukan peruntukan tambahan.

“Dua minggu nanti bila ada penyelesaian siap dengan anggaran kos dan sebagainya, kita akan balik kepada kerajaan Persekutuan sebab projek ini adalah melalui pinjaman.

“Jadi kita kena cari jalan bagaimana mencari dana tambahan daripada peruntukan yang ada khususnya dalam bentuk pinjaman itu untuk kita selesaikan.

“Tapi memang Perdana Menteri telah mengamanahkan saya untuk mencari jalan penyelesaian sebab masalah ini agak kritikal bukan sahaja untuk industri.

“Ia juga (melibatkan) penduduk setempat dan kita juga tahu Universiti Malaysia Sabah (UMS) mempunyai masalah kerana ini (LRA Telibong Fasa II) salah satu yang membekalkan air disana,” katanya.

Fadillah berkata pihaknya juga masih belum dapat memberikan perincian berkenaan anggaran jumlah peruntukan tambahan untuk projek LRA Telibong Fasa II buat masa ini.

Katanya, anggaran peruntukan tambahan berkemungkinan akan berubah selepas pasukan teknikal membuat perincian untuk jumlah sebenar peruntukan yang diperlukan.-BH Online