Lembaga Tabung Haji mengumumkan kos menunaikan haji tahun ini telah meningkat kepada 8% iaitu bernilai RM33,300 berbanding RM30,850 tahun lalu.
Pengarah Urusan Kumpulan dan CEO Lembaga Tabung Haji (TH), Syed Hamadah Syed Othman, berkata golongan B40 yang julung kali menunaikan ibadah haji hanya perlu membayar RM12,356 dan M40 sebanyak RM19,152 atas keprihatinan kerajaan.
“Bakal haji kumpulan B40 akan menerima Bantuan Kewangan Haji dan bantuan kerajaan berjumlah RM20,944 seorang atau bersamaan 63% daripada kos haji.
“Bakal haji kumpulan M40 akan menerima Bantuan Kewangan Haji berjumlah RM14,148 seorang atau 42% daripada kos keseluruhan haji,” katanya menurut Kosmo melalui satu sidang media.
Menurutnya, kumpulan T20 perlu membayar kos penuh RM33,300 seorang.
Beliau turut dipetik Berita Harian berkata, surat tawaran kepada 31,600 jemaah dikeluarkan mulai hari ini dan bakal haji perlu menjawab dalam tempoh 11 hari bekerja melalui aplikasi THiJARI.