Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Pusat Panggilan Kerajaan Malaysia (MyGCC) menerima kira-kira 955,867 transaksi sepanjang tahun lalu dalam pelbagai platform, dengan 99.26 peratus daripadanya didapati menerusi panggilan telefon.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, kebanyakan pertanyaan dan maklumat diterima berkaitan Kementerian Dalam Negeri (KDN) khususnya melibatkan Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran selain Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bawah Kementerian Pengangkutan.

“Saya minta pihak MyGCC untuk kaji apa yang boleh kita lakukan bagi tambah baik proses komunikasi termasuk mengadaptasi kecerdasan buatan ataupun AI untuk memanfaatkan platform yang bukan panggilan seperti WhatsApp dan sebagainya.

“Mungkin kita boleh nama aplikasinya SITI tapi belum ada untuk WhatsApp, jadi saya minta nanti untuk dikaji sama ada kita boleh wujudkan,”katanya.

Beliau bercakap dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Pusat Panggilan Kerajaan Malaysia (MyGCC) di Cyberjaya, hari ini.

Ia merupakan lawatan pertama beliau selepas agensi itu diletakkan bawah Kementerian Komunikasi.

Sebelum ini MyGCC dikendalikan bawah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).- Berita RTM