Sorting by

×

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, malam Sabtu berlepas ke Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam.

Anwar berkongsi video menerusi Facebook dengan membaca doa selamat sebelum menaiki pesawat bersama isterinya Wan Azizah.

PM berkata lawatan ke negara itu bagi memenuhi undangan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah ke Istiadat Persandingan Diraja Pengiran Muda Abdul Mateen Bolkiah dan Pengiran Anak Isteri Pengiran Anisha Rosnah Adam yang akan berlangsung pada Ahad.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah selamat mendarat di Bandar Seri Begawan pada 3.40 petang.

Abdul Mateen dan Dayang Anisha selamat bernikah di Masjid Omar Ali Saifuddien pada Khamis lalu dan Ahad pula berlangsungnya Istiadat Persandingan Diraja di Istana Nurul Iman.

Acara kemuncak itu disusuli Istiadat Persantapan Diraja sempena meraikan kedua-dua pengantin diraja pada Isnin.

Mempelai pengantin diraja kemudian akan menyertai perarakan mengelilingi ibu kota Brunei, Bandar Seri Begawan, manakala Majlis Persantapan Diraja dijadual pada 15 Januari.

Putera Mateen, 33, merupakan anakanda Sultan Brunei, Sultan Hassanal bersama Datin Paduka Seri Mariam Abdul Aziz.

Dayang Anisha, 29, pula merupakan cucu kepada Pehin Datuk Isa, yang merupakan penasihat khas kepada Sultan Brunei.-Berita RTM