Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) merancang untuk membuka kawasan tanaman serai dan halia secara besar-besaran di kawasan kampung seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata inisiatif berkenaan untuk menggandakan pengeluaran tanaman itu untuk tujuan eksport ke luar negara.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, usaha membabitkan komitmen pemimpin serta masyarakat luar bandar itu sejajar dengan permintaan tinggi terhadap produk berkenaan dalam pasaran.

“Kami sudah merancang tetapi belum dimuktamadkan, terutama penghasilan produk yang harus dikeluarkan dalam skala besar. Saya mengambil contoh, permintaan kepada serai terlalu besar di luar negara tetapi kita tidak ada usaha bersepadu untuk pengeluaran tanaman itu secara besar-besaran.

“Oleh itu, kita akan satukan usahawan kecil dari pelbagai kampung untuk menghasilkan bukan hanya bahan mentah tetapi juga kita akan mewujudkan industri hiliran sehingga serai ini menjadi serbuk yang boleh diguna pakai sebagai ramuan kosmetik, bahan makanan dan farmaseutikal.

“Begitu juga dengan halia, permintaan di luar negara terlalu banyak tetapi kita tidak ada kemampuan pengeluarannya disebabkan (pengeluaran) bekalan terlalu kecil,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Pemukiman Hala Tuju Strategik KKDW, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, usaha itu memerlukan koordinasi KKDW dengan dibantu agensi di bawahnya serta kementerian lain.

“Kita bukan berhasrat mengambil alih kuasa jabatan dan kementerian lain, namun tujuannya ialah meningkatkan kemahiran memenuhi permintaan bekalan negara untuk eksport,” katanya.

Beliau yakin usaha itu dapat direalisasikan selepas kerajaan meluluskan peruntukan tambahan RM1 bilion untuk diagihkan kepada 15,000 kampung di seluruh negara bagi menggerak dan menjayakan inisiatif berkenaan.

“Kami sudah mengambil tindakan ‘game changer’ yang pelbagai, terutama selepas Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) meluluskan tambahan peruntukan di luar belanjawan sebanyak RM1 bilion yang meliputi 15,000 kampung di seluruh negara.

“Ini untuk peningkatan program ekonomi, dan peruntukan antara RM50,000 hingga RM100,000 bagi setiap kampung akan diagihkan.

“Kami sedang melaksanakan pencernaan pelaksanaan supaya tidak berlaku pertindihan dengan agensi lain, dan ini kita akan melaksana penyelarasan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, KKDW tahun ini antara lain akan memfokus usaha membantu usahawan desa kategori piko untuk meningkatkan hasil jualan masing-masing.

Ahmad Zahid berkata, ia supaya kelompok berkenaan yang merangkumi 84 peratus daripada keseluruhan usahawan bawah kementerian itu, dapat mengubah nasib mereka daripada hanya berstatus sara diri kepada usahawan sebenar.

Usahawan yang memperoleh hasil jualan di bawah RM60,000 dikategorikan sebagai piko, diikuti nano (RM60,000-RM150,000) dan mikro (RM150,000- RM300,000).

Sementara itu, beliau memaklumkan, warga KKDW dan pemimpin masyarakat peringkat akar umbi akan diberikan pendedahan latihan menerusi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APMM).

“Kita sudah mengambil keputusan supaya semua ahli mesyuarat pengurusan tinggi KKDW untuk di’uniform’kan dengan kolaborasi APMM. Saya sendiri dan Timbalan Menteri juga akan memakai uniform APMM.

“Saya juga menyarankan supaya di bawah kami, dalam kalangan pegawai termasuk 64,000 ketua kampung, ketua masyarakat, tok batin, penghulu dan ketua peneroka FELDA, di’uniform’kan dan diberikan latihan oleh APMM.

“Kita melakukan transformasi ini untuk mewujudkan rasa kebersamaan pimpinan atasan di kementerian hinggalah ke peringkat akar umbi,” katanya-BH Online