Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kerajaan negeri Melaka akan melakukan rombakan besar-besaran terhadap perjawatan kakitangan awam negeri itu bagi menambah baik mutu perkhidmatan kepada rakyat.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata rombakan akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Jelasnya, rombakan adalah berdasarkan petunjuk prestasi utama (KPI) setiap penjawat awam manakala budaya kerja lama seperti bertangguh, tidak teliti dan kekurangan ‘sense of belonging’ kepada kerajaan negeri tidak perlu lagi menjadi amalan.

“Rombakan besar-besaran ini telah pun saya lihat pastinya berdasarkan pada KPI maka rombakan ini amat perlu untuk memajukan Melaka. Penjawat awam mesti bekerjasama dengan kepimpinan negeri untuk memastikan pelaksanaan polisi- polisi yang telah kita tetapkan,” katanya.

Ab Rauf berkata demikian pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 bertemakan ‘Bijak Memimpin, Berani Bertindak’ di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Tambah Ab. Rauf, beliau belum pernah melakukan sebarang rombakan melibatkan ketua jabatan atau agensi kerajaan negeri sepanjang sembilan bulan menerajui pentadbiran.

“Pada 2024 ini saya mahu semua penjawat awam negeri melakukan anjakan paradigma dengan mengubah cara berfikir, bertindak dan bekerja,” katanya.-Berita RTM