Sorting by

×

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menawarkan geran RM500,000 kepada semua negeri, untuk menaik taraf infrastruktur padang bola sepak di lokasi perlawanan Liga Malaysia.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, daripada jumlah itu, RM200,000 diperuntuk bagi penanaman rumput padang, manakala selebihnya bagi naik taraf saliran padang.

Inisiatif tersebut turut dibantu Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menawarkan RM300,000 kepada penerima geran, untuk menyelenggara rumput selama 12 bulan, sekiranya berjaya menyiapkan naik taraf sebelum liga bermula pada Mei depan.

Negeri terlibat bebas memilih jenis rumput pilihan mereka, namun tidak digalakkan jenis Cow Grass kerana rumput tersebut menggunakan asas tanah liat, yang boleh menyebabkan air bertakung ketika hujan.

“Saya telah minta Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dengan KBS untuk duduk bersama-sama UNTUK berbincang dengan exco negeri.

“Sekiranya musim hujan kita boleh lihat keadaan padang. Ia akan menaikkan kos disebabkan pemain terpaksa menangguhkan perlawanan.

Kita terpaksa menaggung kos terlibat seperti tempat tinggal. Untuk menanggung kos ini, rugilah,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Pengelolaan Liga Malaysia dan Pengurusan Stadium di sini.

KBS berharap kerajaan negeri dapat memberikan kerjasama dalam usaha menaik taraf padang bola sepak dalam negara.

Selain itu, Hannah turut memberitahu, faktor fokus kepada pembaikan saliran padang, selain kos selenggara, menjadi punca tiada pasukan menerima geran penanaman rumput jenis Zeon Zoysia pada tahun lalu.

Majlis itu turut dihadiri Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim; Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Stuart Ramalingam dan Presiden MFL Datuk Ab Ghani Hassan.-Berita RTM