Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedia menjalankan audit ke atas semua pemain industri beras di negara ini dalam usaha membanteras isu kartel.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, proses audit itu melibatkan 39,000 pemain industri beras bermula daripada pemegang lesen borong beras, eksport, import, kilang padi, membeli padi, beras runcit dan kelulusan khas menjual benih padi bagi benih padi sah (BPS).

Katanya, bagi melihat sendiri perkara tersebut beliau turun padang membuat lawatan mengejut.

“Kami bertindak apabila ada fakta dan kami tidak mahu hebahkan satu-satu perkara, dalam masa yang sama, kami lakukan siasatan bersama KPDN kerana mereka ini yang bertindak menjaga hal-hal berkaitan kartel.

“Sekarang terdapat kes yang berada di peringkat pendakwaan,” katanya.

Beliau berkata demikan selepas Program lawatan ke projek pembiakan dan penternakan lembu baka wagyu di Kampung Seneng, Jelawat Bachok hari ini.

Menurut beliau, bercakap soal siasatan, KPKM melalui agensinya iaitu Kawal Sedia Padi dan Beras Negara (KSPBN) melaksanakan tindakan penguatkuasaan undang-undang.

Datuk Seri Mohamad memberitahu, sekiranya wujud pelanggaran, pihak berkuasa akan mengambil tindakan ke atas mereka yang terlibat.-Berita RTM