Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Hospital Umum Sarawak dipilih sebagai tapak untuk ujian klinikal First-In-Human (FIH) di Malaysia, oleh salah satu syarikat farmaseutikal terbesar di dunia, Roche Pharmaceuticals.

Kajian di bawah inisiatif reumatologi itu adalah yang pertama seumpamanya, mengkhususkan penyelidikan mengenai rawatan selamat untuk pesakit ‘Lupus Erythematosus Sistemik’ (SLE).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pemilihan sebagai tapak kajian tersebut bukti keyakinan syarikat multinasional terkemuka dunia terhadap keupayaan Malaysia dalam bidang kajian klinikal yang semakin meningkat di Asia.

“Kajian itu akan dijalankan di Pusat Penyelidikan Klinikal Hospital Umum Sarawak, dan dikendalikan oleh Pakar Perunding Reumatologi, Dr Teh Cheng Lay.

“Dengan pengembangan percubaan, adalah penting untuk Malaysia kekal berdaya saing dalam kalangan tapak kajian global yang lain, serta memanfaatkan kekuatan dalam penyampaian ujian klinikal dengan pantas, berkualiti dan boleh dipercayai”, katanya.

Datuk Seri Dr Dzulkefly berucap sempena program Kecemerlangan Penyelidikan Klinikal dalam Fasa Awal dan Pembangunan Insan (Clinical Research Excellence in Early Phase and People Development), di Putrajaya.

Beliau turut menyaksikan acara menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) melibatkan kerjasama strategik antara Penyelidikan Klinikal Malaysia (CRM) dan Persatuan Farmaseutikal Malaysia (PhAMA).

MoU itu dalam usaha ke arah memacu pembangunan bakat dan kemahiran dalam bidang penyelidikan klinikal di negara ini.-Berita RTM