Sorting by

×

Kapal Peronda Luar Pesisir Pertama (OPV1) secara rasminya diserahkan oleh pihak TH Heavy Engineering Berhad (THHE) kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam majlis khas di atas kapal tersebut yang diadakan pada hari ini.

Dalam majlis berkenaan, YBhg Datuk Haji Ruji bin Haji Ubi, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri telah hadir untuk menerima OPV1 secara rasmi dan diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia untuk melaksanakan tugas-tugas penguatkuasaan serta carilamat.

OPV1 ini dibina menggunakan rekabentuk Damen 1800 berukuran 83 meter panjang dengan lebar 13.7 meter dan berkeupayaan melakukan operasi di laut dalam jangka waktu 21 hari tanpa ulang bekal. Ia juga boleh mencapai kelajuan 21 knot serta mempunyai fasiliti seperti tapak pendaratan helikopter dan bilik tahanan serta turut dilengkapi dengan peralatan canggih seperti Unmanned Aerial Vehicle (UAV), Meriam 30mm Smash Aselsan, dua buah bot jenis Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) Dan Fast Interceptor Craft.

Reka bentuk kapal ini bakal menjadikan OPV1 berkemampuan menghadapi laut bergelora sehingga tahap Force 7. Ianya juga mampu melaksanakan tugas-tugas seperti Humanitarian Assistance & Disaster Relief (HADR), bertindak sebagai Kapal Logistik, Kapal Mothership, Kapal Pemerintah, serta menjadi tempat penyimpanan Oil Pollution Equipment.

Kapal ini juga didatangkan bersama Radar X dan S Band bagi memastikan rondaan mampu bergerak secara meluas selain boleh menempatkan 70 orang anak kapal dalam satu-satu masa operasi.

Sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian, OPV1 ini juga telah melalui beberapa fasa percubaan termasuk fasa ujian di laut (sea trial) yang dilakukan di Selat Melaka bersama aset-aset Maritim Malaysia yang terlibat dalam Eksesais Maritim Perkasa Barat pada 28 November lalu.

OPV1 ini diharapkan dapat meningkatkan dan memperkasakan lagi pengoperasian APMM dalam menguatkuasakan undang-undang maritim seterusnya memastikan Zon Maritim Malaysia (ZMM) berada dalam keadaan selamat dan sejahtera.

Turut hadir YBhg. Dato’ Hj. Abdul Halim bin Hj. Abdul Rahman, Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan), YBhg. Datuk Mohd Zamri bin Mat Zain, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan), YBrs. Dr Abdul Gapar bin Haji Abu Bakar, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), YBhg. Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, YBhg. Dato’ Ir. Jauhari bin Hamidi, Pengerusi TH Heavy Engineering Berhad dan Pegawai-Pegawai Kanan KDN serta APMM.-KDN