Sorting by

×

Cadangan berkaitan pelantikan pakar bukan Islam dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk Menggubal Undang-Undang Islam yang dibuat Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham adalah tidak berasas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan sentiasa terlebih dahulu merujuk kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dalam perkara dasar pentadbiran hal ehwal Islam.

Katanya, perkara dasar termasuk isu-isu dasar perundangan dan kehakiman syariah melibatkan urusan umat Islam akan dirujuk MKI yang dipengerusikan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, selain merujuk kepada pihak berkuasa agama Islam Negeri-Negeri.

“Oleh yang demikian, semua pihak adalah diseru supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengundang kegelisahan awam.

“Semua pihak perlu memberikan sepenuh keyakinan serta ruang kepada Jawatankuasa Khas untuk menjalankan peranannya dengan penuh profesional dan berkesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil kajian, pandangan dan syor yang dicadangkan jawatankuasa khas itu akan dibentangkan dalam MKI serta Majlis Raja-Raja, dan menurutnya mesyuarat pertama jawatankuasa khas itu telah berlangsung pada 5 Dis lalu.

Jawatankuasa khas itu dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara Tun Zaki Tun Azmi dan turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, wakil Majlis Agama Islam Negeri, wakil Jabatan Peguam Negara, wakil Mahkamah Syariah, ahli akademik dan pengamal undang-undang.

Mohd Na’im berkata, kesemua anggota yang dilantik dalam jawatankuasa khas itu masing-masing mempunyai kepakaran dalam Perlembagaan Persekutuan, undang-undang sivil dan undang-undang Syariah dan berkelayakan untuk membuat kajian, memberikan pandangan dan sumbang saran.

“Ini bagi memastikan jalan penyelesaian yang terbaik dan harmoni dapat dibuat bagi menyelesaikan semua isu yang berbangkit dalam perkara ini demi memartabatkan dan memperkasa perundangan Syariah dan sistem kehakiman Syariah di negara ini.

“Anggota Jawatankuasa Khas yang telah dilantik pada masa ini untuk menjalankan tanggungjawab ini adalah memadai mengambil kira bidang kepakaran masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, jawatankuasa khas itu ditubuhkan untuk mengkaji isu-isu berkaitan dengan kompetensi Dewan Undangan Negeri serta bidang kuasa Mahkamah Syariah sebagaimana yang diperuntukkan di bawah butiran 1, Senarai II-Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.-Harian Metro