Sorting by

×

Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin melakukan lawatan kerja ke Republik Islam Iran bagi menghadiri Persidangan Peringkat Tinggi mengenai Isu Palestin bermula hari ini hingga Isnin.

Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan lawatan kerja tersebut untuk mengetengahkan pendirian tegas Malaysia berhubung isu Palestin, termasuk menggesa rejim Zionis untuk serta-merta menghentikan tindakan pembunuhan beramai-ramai ke atas rakyat Palestin dan usaha berterusan negara dalam memberikan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza, pada persidangan itu.

“Persidangan berkenaan diadakan sebagai solidariti bersama rakyat Palestin dan bagi membincangkan cabaran serta strategi untuk penyelesaian jangka panjang kepada konflik berterusan di Gaza, selain mencari mekanisme lebih berkesan dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin,” menurut Wisma Putra.

Persidangan Peringkat Tinggi mengenai Isu Palestin yang dihoskan Presiden Republik Islam Iran Seyed Ebrahim Raisi, juga turut dihadiri beberapa negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan negara bukan anggota OIC.-Berita RTM