Sorting by

×

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) meluluskan resolusi menuntut semua pihak membenarkan penyampaian bantuan kemanusiaan ke Gaza secara selamat dan tanpa halangan.

Resolusi itu menuntut semua “laluan ke seluruh Semenanjung Gaza, termasuk lintasan sempadan” dibuka untuk bantuan kemanusiaan.

Resolusi itu juga mencadangkan pelantikan penyelaras kemanusiaan PBB untuk menyelia dan mengesahkan bantuan negara ketiga ke Gaza.

Sebanyak 13 negara anggota undi menyokong.

Manakala Amerika Syarikat dan Rusia yang masing-masing memegang kuasa veto, memilih untuk berkecuali.

Selepas sesi pengundian ditangguhkan berhari-hari, resolusi itu juga menggesa penetapan syarat untuk menghentikan permusuhan.

Bagaimanapun, tiada sebarang gesaan dibuat agar pertempuran segera ditamatkan.

Sementara itu, Duta Besar AS Linda Thomas-Greenfield menyebut resolusi itu sebagai “langkah ke hadapan yang kukuh.

“Majlis ini memberikan sinar harapan di antara banyaknya penderitaan,” katanya.

Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres berkata susulan undian itu bahawa serangan Israel adalah “masalah sebenar” untuk penghantaran bantuan ke Gaza, sambil mengulangi gesaannya untuk gencatan senjata kemanusiaan segera.-Berita RTM