Semua pihak hendaklah memberi ruang kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat dan menyita Menara Ilham di ibu negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan badan penyiasatan itu jelas membuktikan sistem penguatkuasaan di negara ini tidak menyebelahi mana-mana pihak.
“Biar SPRM jalankan tugas mereka dan tidak kiralah kedudukan sesiapa pun, Tun ke Tan Sri ke…kalau tidak kritikannya (siasatan terpilih) nanti, yang ikan-ikan kecil (orang biasa) ini ditangkap, tapi kepala (individu berkedudukan) tidak boleh disentuh, bila disentuh masih ada yang pertahankan dan digunakan pengaruh terutama media sosial untuk pertahankan.
“Biarlah siasatan dibuat, supaya pemimpin jangan dilihat sebagai melindungi perasuah-perasuah besar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan Solat Jumaat bersama kira-kira 5,000 jemaah di Masjid Kota Damansara hari ini.
“Tanggungjawab SPRM jalankan tugas dan siasatan. Jangan buat tafsiran setiap kali kita sentuh orang besar, maknanya ada muslihat.
“Sistem kita mesti menunjukkan contoh keberanian untuk bertindak kepada perasuah besar. Apakah benar atau tidak? Biarlah proses dijalankan dan kemudian badan kehakiman yang memutuskan,” katanya ketika diminta mengulas tindakan agensi penyiasatan itu menyita Menara Ilham di Jalan Binjai ibu negara.
Semalam, media melaporkan bangunan setinggi 60 tingkat di tengah-tengah ibu kota itu disita mengikut Akta SPRM 2009.
Notis penyitaan bangunan itu bertarikh 18 Disember lepas ditandatangani Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Akram Gharib.