Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

IPOH: Penyebaran fahaman menyeleweng atau ajaran sesat di Perak termasuk yang berselindung dalam aktiviti kebajikan dan disebarkan secara maya masih terkawal dan berada dalam radar pengetahuan pihak berkuasa agama negeri, menurut Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.null

Saarani yang turut mrmegang portfolio Exco Agama Islam negeri berkata, jawatankuasa keselamatan negeri yang turut dipengerusikan olehnya dan dianggotai oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan Timbalan Mufti Perak sentiasa melaporkan berkaitan gerakan menyeleweng sedemikian.

Beliau berkata, sesi turun padang sentiasa dibuat sama ada oleh JAIPk mahupun Jabatan Mufti Negeri Perak (JMNPK) apabila terdapat aduan orang ramai mengenai ajaran meragukan daripada ajaran Islam sebenar.

Bahkan menurutnya, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah juga mengambil maklum tentang aktiviti ajaran sesat di negeri ini.

“Mengenai kaedah siasatan ini mereka (saja) yang tahu. Hendak kata kita biarkan, tidak kerana memang dalam pengetahuan kita malahan Sultan Perak (Sultan Nazrin Muizzuddin Shah) selaku ketua agama Islam negeri mengambil maklum mengenainya.

“Baru-baru ini saya juga dipanggil bersama dengan Datuk Timbalan Mufti dan Datuk Pengarah JAIPk hadir untuk memberi taklimat kepada Tuanku (Sultan Nazrin),” katanya.

Saarani berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Halaman Suri Sejahtera Negeri Perak di Jalan Jumbo Jet, Taman Lapangan Terbang, di sini petang semalam.

Hadir sama Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan, dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed.

Kata Saarani lagi, justeru gerakan ajaran sesat di Perak disifatkan masih terkawal dan berada dalam pengetahuan pihak berkuasa.

“Dari segi angka saya tak dapat beri tetapi kita memang tahu dan ianya masih dalam kawalan,” katanya.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan dilapor berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama jabatan agama Islam negeri (JAIN) sentiasa proaktif, konsisten dan tegas dalam memantau serta mengambil tindakan terhadap mana-mana doktrin atau dakyah yang menyeleweng.

Ia susulan penyebaran ajaran sesat di alam maya dan dijalankan secara tertutup atau berselindung di sebalik program lain menjadi antara cabaran kepada usaha kerajaan mengekang ajaran yang menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi pegangan di Malaysia.

Zulkifli dilapor berkata sesetengah fahaman ini juga tidak lagi tampil dalam bentuk ajaran agama yang jelas, sebaliknya berlatar belakangkan elemen motivasi, kerohanian, psikologi, teori konspirasi atau pengaruh tokoh tertentu yang boleh mengelirukan masyarakat. -BH Online