SEREMBAN: Sebanyak RM238.64 juta dibelanjakan kerajaan bagi pelaksanaan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) di seluruh negara dalam tempoh 1 Januari hingga 13 Julai lalu dengan lebih 21 juta transaksi direkodkan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh, berkata sepanjang tempoh itu, lebih 17,000 PJRM dilaksanakan di seluruh negara dan menjelang hujung tahun ini disasarkan mencapai 30,000 program.
“Program ini terus mendapat sambutan menggalakkan kerana memberi manfaat kepada rakyat dalam menangani kos sara hidup menerusi penawaran barangan keperluan asas pada harga lebih rendah,” katanya selepas PJRM di sini, hari ini.
Fuziah berkata, kementerian turut memperluaskan pembabitan pengusaha kedai runcit sebagai rakan strategik PJRM bagi membantu meningkatkan pendapatan dan mengembangkan perniagaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Beliau berkata, setakat ini 606 kedai runcit di seluruh negara dilantik rakan strategik PJRM termasuk pasar raya, pasar mini, agrobazaar dan premis peruncitan lain.
“Melalui kerjasama ini, operator tidak menanggung kerugian kerana subsidi antara 10 hingga 30 peratus bagi barangan terpilih disalurkan terus oleh kerajaan kepada peniaga terbabit.
“Pengguna boleh membeli barang Rahmah di kedai terbabit dengan terus menikmati harga lebih rendah, manakala peniaga pula dapat meningkatkan nilai jualan mereka,” katanya.
Fuziah berkata, sebanyak 77 jenis barangan keperluan asas ditawarkan di bawah PJRM antaranya beras, ayam, telur, sardin, biskut, bawang dan pelbagai barangan makanan lain.
Beliau berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membantu rakyat mengurangkan beban kos sara hidup melalui pemberian subsidi bersasar bagi barangan keperluan harian. – BERNAMA

