Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Sebanyak RM25 juta akan disalurkan untuk membina 18 blok tambahan kolej kediaman pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim, di sini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata beliau telah mengarahkan Kementerian Kewangan untuk meluluskan peruntukan itu sebelum akhir tahun ini.

“Sekarang ini kediaman yang ada hanya boleh menampung 7,804 kekosongan tempat, 36 peratus daripada pelajar, 21,794 orang, ini kadar terendah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di seluruh negara, di universiti awam lain sekitar 60 peratus, jadi bila saya dapat maklumat ini, saya perlu ambil tindakan segera.

“Kita hendak tambah kapasiti kolej kediaman yang melibatkan 18 blok kolej dan ini kita akan lakukan,” katanya ketika sesi Temu Anwar selepas merasmikan Anugerah Buku Negara 2023 di Dewan Tuanku Canselor UPSI, di sini.

Tambah Anwar, projek berkenaan akan dilaksanakan di bawah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) Jabatan Perdana Menteri.-Berita RTM