Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Pemergian Allahyarham Datuk Sulaiman Abdullah disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada evolusi perundangan sivil mahupun syariah.

Malah, kebanyakan pengamal undang-undang menyifatkan peguam tersohor itu sebagai seorang cendekiawan dan lantang bersuara.

Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh yang menzahirkan kesedihan atas pemergian Sulaiman, berkata Allahyarham banyak memberi sumbangan dalam bidang perundangan dan juga kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) atas kapasiti beliau sebagai penasihat berkaitan isu berkepentingan awam serta berprofil tinggi.null

“Pemergian Allahyarham adalah suatu kehilangan besar kepada bidang perundangan dan negara. Sesungguhnya jasa dan bakti Allahyarham amatlah dihargai dan akan sentiasa dikenang oleh warga AGC.

“Kali pertama saya mengenali Allahyarham ialah ketika saya menuntut di Universiti Malaya (UM) di mana isteri beliau, Profesor Datuk Dr Mehrun Siraj, adalah pensyarah yang mengajar saya subjek undang-undang keluarga,” katanya.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi pula menyifatkan Sulaiman sebagai seorang peguam terkenal serta dihormati barisan hakim, selain memiliki pengetahuan amat mendalam dalam undang-undang sivil dan syariah.

“Allahyarham adalah rakan yang sangat karib, dan pemergiannya suatu kehilangan besar dalam profesion perundangan,” katanya.

Bagi Nizam Bashir, Allahyarham adalah peguam yang begitu dikenali dengan dedikasinya terhadap kes-kes membabitkan kepentingan awam dan berprofil tinggi, antaranya krisis Perlembagaan Perak.

Peguam itu berkata, Sulaiman banyak memperjuangkan kes membabitkan isu perundangan awam yang berhubung kait dengan Islam seperti kes Lina Joy, kalimah Allah dan bin Abdullah, serta acap kali dilantik mewakili Majlis Agama Islam pada peringkat Persekutuan dan Negeri untuk tujuan berkenaan.

“Allahyarham masih meluangkan masa dalam aktiviti membabitkan Majlis Peguam dan dilantik sebagai Presiden Majlis Peguam sebanyak dua kali.

“Pemergiannya adalah suatu kehilangan yang besar dalam kalangan peguam sivil dan syariah. Beliau memang tercatat sebagai antara peguam sivil dan syariah yang kita tidak akan lupakan,” katanya.

Datuk Seri K Kumaraendran pula menyifatkan peguam veteran berusia 77 tahun itu sebagai seorang yang begitu budiman dan intelektual tulen kerana Sulaiman baik hati serta pemurah dengan semua orang tanpa mengira latar belakang atau keturunan, malah beliau adalah seorang Muslim yang warak.

“Allahyarham Sulaiman adalah sahabat baik saya. Saya sering merujuk kepada beliau dalam beberapa isu syariah, dan beliau sentiasa sudi membantu. Takziah kepada keluarga Allahyarham atas pemergian beliau,” kata peguam itu.

Peguam, Datuk Abdul Fareed Abdul Gafoor, berkata pemergian Sulaiman adalah satu kehilangan besar kepada Badan Kehakiman Malaysia dan diri beliau secara peribadi.

“Saya tidak begitu mengenali beliau sehinggalah Allahyarham bersetuju menjadi peguam utama saya dalam satu kes berkepentingan awam yang saya kalah di Mahkamah Tinggi, dan beliau bersetuju menjadi peguam pada peringkat Mahkamah Rayuan, peringkat mendapatkan kebenaran Mahkamah Persekutuan dan rayuan selepas itu.

“Kami melakukannya secara pro bono atau percuma pada semua peringkat… kes itu telah dilaporkan meskipun kami tidak berjaya. Ia adalah ulang tahun perkahwinan saya, namun saya telah dikejutkan dengan berita amat menyedihkan ini,” katanya sambil menambah beliau merancang untuk menziarahi Sulaiman pada cuti Krismas hujung minggu ini tetapi hasrat itu tidak kesampaian.

Seorang lagi peguam, Salim Bashir, berkata Allahyarham adalah pejuang kebenaran, selain seorang yang budiman, luar biasa dan berprinsip.

“Saya mendapat penghormatan untuk berkhidmat bersama-sama beliau dalam Majlis Peguam di mana beliau sering menjadi rujukan bagi mendapatkan bimbingan. Allahyarham sentiasa membicarakan perihal disiplin serta etiket Majlis Peguam.

“Allahyarham Sulaiman komited terhadap kedaulatan undang-undang dan telah memberi sumbangan begitu besar kepada profesion perundangan. Kita patut mengikut teladan beliau,” katanya.

Peguam, Christopher Leong, berkata Sulaiman sebagai pendukung Majlis Peguam adalah sumber kebijaksanaan dan intelek institusi itu.

“Saya juga telah mendapat penghormatan untuk sama-sama menabur bakti dengan beliau dalam Majlis Peguam dan bersahabat baik dengan Allahyarham.

“Majlis Peguam kini kehilangan sebutir permata tanpa kehadiran beliau. Beliau akan sentiasa dirindui,” katanya.

Bagi Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin pula, Sulaiman adalah peguam yang unggul dalam segala hal, selain seorang yang sopan, baik hati dan terhormat.

“Allahyarham adalah contoh yang unggul kepada kebanyakan ahli Majlis Peguam dari segi kualiti kejujuran, integriti dan keadilan. Kehilangan beliau akan dirasai oleh begitu ramai orang,” katanya.

Sementara itu peguam, Datuk N Sivananthan secara ringkas menyifatkan Allahyarham Sulaiman sebagai seorang individu yang begitu mementingkan kebebasan dan tidak mudah akur kepada mana-mana pihak.

Peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader, berkata Allahyarham adalah seorang legenda perundangan yang telah banyak menyumbang dalam perkembangan undang-undang sivil dan syariah di Malaysia.

“(Pemergian beliau adalah satu) Kehilangan besar yang sukar dicari ganti. Saya dan Allahyarham telah mengendalikan banyak kes bersama dan saya banyak belajar daripada beliau. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan Allahyarham ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman,” katanya.

Sulaiman yang merupakan Presiden Majlis Peguam dari 2000 hingga 2001, meninggal dunia semalam pada usia 77 tahun. – BERNAMA