Sorting by

×

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat memperhebat dalam usaha mempromosi barangan Malaysia di peringkat antarabangsa dan tempatan.

Anwar berkata, ini sekali gus dapat meransang pertumbuhan ekonomi negara.

Katanya, beliau sendiri akan memainkan peranan mempromosi barangan Malaysia dengan memakai batik Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Esok petang saya ke Tokyo, Jepun untuk mesyuarat ASEAN dan semua 10 negara ASEAN diundang Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida dan satu malam dia kata boleh pakai pakaian sut atau pakaian rasmi.

“Saya bagi nota nak pakai batik Malaysia walau di sana (Jepun) musim sejuk, ini sebab saya rasa bertanggungjawab untuk promosi barang buatan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Barangan Malaysia 2023 di sini pada Khamis.

Tambahnya, sejak menjadi Perdana Menteri pada 24 November tahun lalu, beliau telah menjadikan kunjungan ke gerai dan warung pada hari Jumaat sebagai acara tetap mingguan.

Lazimnya acara mingguan itu sebagai satu usaha beliau untuk mempromosi barangan Malaysia diperingkat tempatan.

“Sebelum solat Jumaat saya pergi warung dan gerai dan makan di kedai tempatan. Ini cara promosi barangan Malaysia.

“Saya sendiri tidak rasa kurang darjat saya makan di gerai dan warung tiap minggu … kopi atau makanan dihidang ini kadang-kadang lebih enak daripada restoran lima bintang.

“Menteri, timbalan menteri, ketua setiausaha dan kawan-kawan ambil langkah tambahan (promosi barang Malaysia),” katanya yang menyeru anggota pentadbiran melakukan hal yang sama dalam mempromosi dan menyokong barangan Malaysia.

Dalam pada itu, Anwar turut menasihatkan agar setiap pengusaha produk Malaysia mempertingkatkan mutu barangan mereka supaya dapat bersaing dengan syarikat luar yang telah menembusi jaringan antarabangsa termasuk beberapa negara Eropah.

Anwar menyifatkan Karnival Barangan Malaysia selama empat hari yang bermula hari ini telah menyemarakkan pertumbuhan ekonomi negara.

Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) diperkenalkan pada tahun 1984 sangat signifikan bagi mengimbangi cabaran dan tekanan globalisasi ekonomi semasa.

Ini khususnya untuk merancakkan dan merangsang pertumbuhan ekonomi domestik melalui peningkatan pembelian dan penggunaan produk tempatan.-Berita RTM