Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kontraktor yang membida projek kerajaan diminta memanfaatkan peluang itu dengan mempamerkan prestasi pelaksanaan terbaik.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pihaknya mahu kontraktor yang diberi tanggungjawab untuk memastikan pelaksanaan projek dianugerahkan kerajaan dapat mematuhi beberapa aspek seperti kualiti, produktiviti dan profesionalisme.

Selain itu, beliau juga berharap pelaksanaan projek tidak dilengahkan, sebaliknya dapat disiapkan dalam waktu ditetapkan.

“Bagi kontraktor yang dianugerahkan projek tertentu, ia satu amanah dan tanggungjawab yang mesti dilaksanakan. Ini kerana di dalamnya terdapat hak yang mesti ditunaikan kepada orang lain.

“Maka dalam konteks larangan mengkhianati amanah sesama manusia, khianat terhadap amanah dalam pembelajaran dan pekerjaan turut dilarang Allah SWT.

“Dalam tafsir al-Munir turut dijelaskan jika tiada sikap amanah dalam diri seseorang, lantas tidak sempurna dirinya untuk menjadi seorang mukmin yang berjaya.

“Saya percaya, selain sifat amanah, jika kontraktor Bumiputera terus berusaha dan menitik beratkan sifat kreatif serta berdaya saing, mereka akan berupaya memanfaatkan segala peluang dan sentiasa bersedia mengadaptasi norma baharu yang penuh cabaran dan perubahan,” katanya berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) ke-44 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, malam ini.

Teks ucapan Ahmad Zahid dibacakan Setiausaha Politiknya, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii yang turut melancarkan Majlis Kontraktor Generasi Baharu (MKGB).

Mengulas pembentukan sayap baharu persatuan kontraktor itu, Ahmad Zahid berkata, ia dilancarkan tepat pada masanya, mengambil kira kehendak semasa.

Beliau berkata, langkah itu juga boleh menarik kontraktor muda dalam kalangan anak ahli persatuan.

“Ini satu langkah positif daripada PKMM untuk digerakkan supaya kontraktor mempunyai pelapis dalam kalangan generasi baharu,” katanya.

Mengimbau pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan wabak pandemik COVID-19 yang menjejaskan industri berkenaan, Ahmad Zahid berkata, perangkaan Kementerian Kerja Raya (KKR) menunjukkan industri pembinaan dianggar mengalami kerugian lebih RM42 bilion sejak PKP dikuatkuasa pada 18 Mac 2020 hingga kini.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak RM18 bilion adalah anggaran kerugian dalam tempoh PKP 3.0 bermula 1 Jun hingga September 2021.

“Kesan pandemik COVID-19 dan pelaksanaan PKP, menyebabkan sektor pembinaan mencatatkan penurunan kadar pertumbuhan sebanyak 19.4 peratus pada 2020.

“Pada suku pertama tahun ini pula, sektor pembinaan terus menurun pada kadar 10.4 peratus, namun angka itu meningkat pada kadar 40.3 peratus pada suku kedua 2021 dan terus meningkat sehingga kini,” katanya.-BH Online